Pelajar sekolah didedah proses mengundi

Pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam simulasi pengundian. Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi
Pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam simulasi pengundian. Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi
A
A
A

MACHANG - Seramai 320 pelajar daripada 80 sekolah menengah di negeri ini menerima pendedahan bagi proses mengundi pada pilihan raya yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, pendedahan melalui simulasi tersebut disertai mereka yang berusia 15 tahun hingga 19 tahun daripada Kelab Malaysiaku bawah kelolaan jabatan itu.

“Pelajar-pelajar yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kelab ini diberi pemahaman berkenaan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Mereka yang sebahagiannya layak mengundi dapat memahami dan melihat secara fizikal sistem pengundian dilaksanakan dalam pilihan raya di negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Demokrasi Kita @ Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Kelantan tahun 2023.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Mohd Fadly Mohd Fauzi yang melakukan demonstrasi pengundi tersebut.

Mohd Fadly (kiri) yang melakukan simulasi proses mengundi.
Mohd Fadly (kiri) yang melakukan simulasi proses mengundi.

Menurutnya, JaPen mendapat kerjasama sepenuhnya daripada SPR dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam menjayakan simulasi mengikut peraturan ditetapkan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Pelajar ditunjukkan proses bermula daripada semakan, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan mengundi dalam kotak yang disediakan.

“Mereka juga diberitahu tentang peraturan yang perlu dipatuhi dan cara mengundi supaya tidak bimbang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi sekali gus meningkatkan peratus keluar mengundi serta mengelak kertas undi rosak,” ujarnya.

Tambah beliau, maklumat-maklumat yang disalurkan melalui kelab tersebut diharap akan disampaikan secara lebih meluas kepada pelajar-pelajar lain oleh pemimpin-pemimpin kelab terbabit.