Cukai hartanah baru Singapura lonjak belian rumah di Johor

Mohd Jafni (duduk, dua dari kanan) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir Majlis Rumah Terbuka di Dewan Bandar Putra Kulai pada Sabtu.
Mohd Jafni (duduk, dua dari kanan) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir Majlis Rumah Terbuka di Dewan Bandar Putra Kulai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Peningkatan cukai hartanah bagi bukan pemastautin di Singapura bakal melonjak pembelian hartanah di negeri ini sekaligus membantu menurunkan jumlah kediaman tidak terjual di Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kediaman tidak terjual bernilai lebih setengah juta dilihat mempunyai potensi yang menarik untuk dibeli pembeli dari Singapura.

"Baru-baru ini, Singapura menaikkan cukai daripada 30 peratus sehingga ke 60 peratus kepada bukan pemastautin di sana, sudah tentu pembeli berpotensi dari republik akan beralih ke Johor.

“Kediaman bernilai lebih RM500,000 mempunyai potensi besar untuk dijual sekali gus mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual di negeri ini.

"Sebanyak 80 peratus kediaman tidak terjual di negeri ini terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan terutama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri, Dewan Bandar Putra pada Sabtu.

Singapura dilaporkan baru-baru ini, menggandakan kadar cukai bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman daripada 30 peratus kepada 60 peratus, untuk mengelakkan daya apungan susulan permintaan hartanah mewah yang berlebihan daripada pembeli luar negara serta mengekalkan kemampuan memiliki rumah rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, pelbagai langkah akan diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan kediaman tidak terjual termasuk mengadakan Expo Perumahan Johor pada Julai depan.

"Expo tersebut akan menawarkan sebanyak 21,000 unit rumah yang terdiri daripada Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) berharga bawah RM150,000 serta rumah berharga RM500,000 dan RM1 juta ke atas," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni menjelaskan, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan kepada bakal pembeli RMMJ, namun pembeli tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri masih menanggung subsidi.

Beliau berkata, permintaan bagi RMMJ juga dilihat masih tidak mencukupi sekali gus menunjukkan pembeli tidak membuat penilaian berdasarkan kenaikan OPR.

“Nilai rumah RMMJ ini semua orang kena faham, ia masih disubsidi oleh kerajaan, rumah RMMJ bernilai RM150,000 tetapi harga pasaran di luar adalah RM300,000, maknanya kenaikan OPR tidak akan menjejaskan pembeli,” katanya.