KJ dakwa pengumuman KWSP oleh PM tidak cermat

Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap episod 16 bersama Shahril pada Jumaat.
Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap episod 16 bersama Shahril pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa cadangan kerajaan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus adalah tidak cermat.

Dakwanya lagi, kerajaan hanya mencadangkan perkara tersebut tanpa melakukan sebarang kajian.

Khairy berkata, berdasarkan pengalaman bekerja bersama empat Perdana Menteri sebelum ini, pengumuman sedemikian mempunyai perancangan rapi beberapa bulan sebelumnya.

"Lazimnya kita akan panggil semua kementerian untuk turut bersama memikirkan apa boleh diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Bukan hanya umum sahaja, ia sangat bahaya sebab beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 16 bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Jumaat.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa cadangan supaya kadar caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincang oleh kerajaan.

Ujar Anwar, cadangan berkenaan sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengumuman dibuat oleh kerajaan itu telah menimbulkan panik kepada kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja.

"Adakah kerajaan sudah ada pelan contohnya bagi PKS hanya naik sehingga 15 peratus (caruman) manakala bagi syarikat-syarikat yang lebih besar pula boleh sumbang sehingga 20 peratus.

"Bagi saya pengumuman diberikan itu tidak membantu. 'Almost lazy' (hampir malas)," ujarnya.

Sementara itu, Shahril berharap pengumuman yang dilakukan kerajaan berkenaan telah mempunyai kajian terperinci.

Jelasnya, adalah lebih baik angka caruman tersebut tidak diumumkan sekiranya tiada kajian dilakukan.

"Cuma nyatakan kerajaan menimbangkan untuk meningkatkan sumbangan pihak majikan. Bila letak angka tersebut ia sebabkan sedikit panik," ulasnya.