Antara kaji gaji sektor awam, caruman KWSP majikan

Anwar bersama warga pekerja semasa sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani di PICC pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar bersama warga pekerja semasa sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani di PICC pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena Hari Pekerja yang berlangsung pada 1 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menilai dan mengkaji gaji penjawat awam di negara ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Tambun itu ketika dalam perasmian Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Ujarnya, kajian berkenaan melibatkan pekerja gred rendah dan menengah dalam sektor tersebut.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan sentiasa memastikan hak pekerja termasuk penjawat awam diutamakan.

Jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu sudah pasti menaikkan harapan warga sektor awam terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum stabil sepenuhnya ini.

Namun begitu, berita gembira seperti ini tidak boleh terbiar begitu lama dan membuatkan rakyat ternanti-nanti benda yang tidak pasti.

Sebelum ini, perintah gaji minimum dengan kadar RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei tahun lalu untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Januari lalu kepada 1 Julai depan.

Justeru, jaminan Anwar untuk mendapatkan titik penyelesaian ‘sekali dan untuk semua’ melalui perbincangan dalam mesyuarat Kabinet pada bulan depan pastinya dinanti-nantikan oleh rakyat.

Dalam pada itu, Anwar juga mengesahkan cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini ada dikemukakan kepada kerajaan.

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dan akan dibawa kepada jemaah menteri.

Ia susulan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus pada Sabtu.

Menurut Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal perkara itu merupakan salah satu daripada 12 perkara yang dicadangkan UNI-MLC untuk kerajaan dan majikan tangani dengan kadar segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.

Tentunya, keputusan mesyuarat Kabinet pada bulan depan akan meraih perhatian orang ramai khususnya pekerja sektor awam di negara ini yang menanti khabar gembira daripada Kerajaan Perpaduan.