NSPC bakal lonjakkan industri perkapalan negara

Anthony - Foto Bernama
Anthony - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) yang telah diaktifkan semula akan mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh dua bulan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai hala tuju industri maritim, langkah-langkah untuk menangani isu semasa dan meneliti dasar-dasar yang berkaitan untuk memastikan industri tempatan kekal kompetitif.

Isu-isu utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat NSPC termasuklah isu pembiayaan bank, "isu penyelenggaraan kabel bawah laut” dan cabaran berkaitan dengan ekosistem industri perkapalan, katanya pada sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di sini.

NSPC telah ditubuhkan pada 2018 semasa Anthony menjadi Menteri Pengangkutan dan majlis tersebut mengadakan mesyuarat secara berkala, iaitu setiap tiga hingga empat bulan pada masa itu.

Dalam Bajet 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, sejumlah RM3.7 bilion diperuntukkan di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam bagi membangunkan sektor pengangkutan.

Bagaimanapun, dalam Belanjawan 2023, peruntukan untuk industri maritim telah dikurangkan kepada RM1 bilion dan diletakkan di bawah Skim Maritim dan Logistik.

Permohonan dana tersebut yang bertujuan untuk memodenkan sektor maritim negara adalah di bawah kuasa Bank Pembangunan Malaysia Bhd, namun terdapat isu berkaitan dengan prosedur permohonan dan pembahagian dana tersebut.

Sementara itu, Anthony berkata, aktiviti bunkering iaitu operasi membekalkan produk petroleum atau bahan api ke kapal yang lazimnya dilaksanakan secara dari kapal ke kapal merupakan subsektor industri maritim yang strategik tetapi kurang diberi perhatian sebelum ini.

Beliau menekankan dengan pertumbuhan empat peratus setiap tahun, saiz pasaran bunkering bakal mencecah AS$160 bilion pada 2030 berbanding anggaran nilai pasaran ‘bunker fuel’ untuk seluruh dunia kira-kira AS$110 bilion setahun pada 2020.

"Potensi pertumbuhan aktiviti bunkering adalah cukup besar. Ia boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya dengan memangkinkan pembentukan rantaian ekosistem ekonomi maritim yang lebih dinamik dan berdaya saing di Malaysia,” katanya.

Anthony berkata, pemeteraian MoU antara MBA dan MASA hari ini menjadi titik permulaan yang baik dan sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan semua kewajipan dan syarat di bawah Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL) dilaksanakan dengan sempurna termasuk penggunaan kapal Lambung Ganda Dasar Ganda untuk meningkatkan daya saing industri bunkering dan kelestarian alam sekitar.

"Bagi kapal-kapal tangki yang mempunyai Lambung Tunggal Dasar Ganda yang diserahkan sebelum Julai 1996, dibenarkan membawa minyak dan operasi mereka boleh diteruskan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

"Pembaharuan dalam syarat tersebut akan berkuat kuasa melalui Notis Perkapalan Malaysia (MSN) yang baharu dan akan dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia pada bulan ini dan dijangka mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2023,” katanya.

Anthony berkata, dasar-dasar tersebut mengambil kira keperluan dan kehendak pemain industri di Sarawak dan Sabah serta di kawasan pedalaman atau pulau-pulau berikutan mereka menggunakan kapal-kapal yang kecil dan lazimnya terdiri daripada kapal-kapal lambung tunggal atau bot berlesen. - Bernama