Tiada ‘abang besar’ dalam PH: Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan yang mengatakan DAP merupakan ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, berbeza pandangan dalam sesuatu isu bukan kayu pengukur untuk melabel parti tertentu sebagai ‘abang besar’ yang didakwa mengawal parti-parti komponen lain dalam PH.

Mahfuz turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak biarpun masing-masing mempunyai pandangan tersendiri.

“Berbeza pandangan dalam sesuatu isu adalah asam garam dalam berpolitik apabila dianggotai pelbagai parti yang membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Namun ia bukan bermaksud dalam PH ada ‘abang besar’, DAP bukan ‘abang besar’ PH.

“Dalam isu pengampunan Najib, kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming bukan kenyataan rasmi DAP. Beliau bukan mewakili DAP lagi sebagai wakil rakyat, pemimpin DAP lain tak kata apa pun. Jadi saya tak boleh rujuk kenyataan beliau sebagai kenyataan rasmi DAP,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Amanah di sini pada Khamis.

Pada Selasa, Ong Kian Ming membuat peringatan agar batasan yang ada dalam jalinan kerjasama PH dan BN tidak boleh dilanggar, antaranya termasuk pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

Sebelum ini, Amanah memohon maaf kepada UMNO atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berhubung isu pengampunan terhadap Najib.

Ia menimbulkan polemik antara pemimpin Amanah, UMNO dan DAP apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan berbeza.

Susulan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi menyifatkan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) didakwa berdepan kecelaruan selain melahirkan simpati kepada Amanah yang seakan ditekan oleh ‘abang besar’ dalam PH.

Mahfuz sebaliknya menyifatkan tindakan pemimpin Amanah membuat permohonan maaf sebagai amalan mulia untuk menjernihkan kekeruhan yang timbul susulan daripada kenyataan pelbagai pihak.

“Mohon maaf amalan mulia, sama ada kita buat salah ataupun tidak. Hari Raya kita bermaaf-maafan dengan semua orang walaupun kita tak tahu ada buat salah atau tidak.

“Yang penting pemimpin tahu cara untuk jernihkan kekeruhan yang sedikit sebanyak berlaku. Dalam rumah tangga macam itulah, kadang-kadang laki bini hari-hari gaduh, itu asam garam dalam rumah tangga dan juga politik,” ujarnya.

Mahfuz turut meminta semua pihak agar menyerahkan isu terbabit untuk diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Permohonan maaf atau memaafkan ialah untuk menjernihkan keadaan atau memurnikan hubungan agar silaturahim lebih baik. Apa masalah beliau untuk persoalkan tindakan Amanah mohon maaf kepada UMNO?

“Seeloknya dalam isu pengampunan Najib, kita jernihkan kembali hubungan yang dititahkan Baginda dalam memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan. Kita harus hargai amanah Raja-Raja Melayu yang melihat keperluan menjernihkan politik negara untuk kita pacu ke hadapan,” ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Sanusi dakwa PH-BN celaru, dikawal ‘abang besar’

ARTIKEL BERKAITAN:'Pengampunan Najib, isu penting buat akar umbi UMNO' - Shahrir

ARTIKEL BERKAITAN:'Pengampunan diraja Najib harus ditolak' - Muda

ARTIKEL BERKAITAN:Pengampunan Najib: UMNO perlu hormat pendirian Amanah

ARTIKEL BERKAITAN:Amanah rayu Agong tolak pengampunan Najib