[VIDEO] Adik enam tahun cekal jaga abang 10 tahun

Kedua-dua beradik itu kini menumpang kasih di rumah ibu saudara, Rohani di Kampung Bukit Maraka, Kota Bharu.
Kedua-dua beradik itu kini menumpang kasih di rumah ibu saudara, Rohani di Kampung Bukit Maraka, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kemalangan jalan raya pada 2 April lalu bukan sahaja meragut nyawa adik bongsu berusia lima tahun namun pada masa sama turut menyebabkan ibu bapa dua beradik, Mohd Hafiy Mohd Hafiz, 10 dan Mohd Hadif, 6, hilang upaya.

Lebih menyedihkan lagi apabila Mohd Hafiy yang merupakan anak sulung kepada keluarga ini hanya mampu terlantar di atas katil selain hilang upaya untuk bergerak dan bercakap akibat kemalangan tersebut.

Pelajar darjah empat itu kini dijaga adiknya, Mohd Hadif yang masih kecil namun seakan memahami situasi berlaku.

Kedua-dua beradik itu kini menumpang kasih di rumah ibu saudara, Rohani Abdullah, 52, yang memikul tanggungjawab menjaga mereka apabila kedua ibu bapa, Mohd Hafiz Daud, 35, dan Siti Idayu, 35, menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak sebulan lalu.

Menurut Rohani, Mohd Hadif seorang anak yang mudah diurus dan adik yang penyayang.

Mohd Hadif setia menjaga Mohd Hafiy dan sentiasa berinteraksi walaupun abangnya kini tidak mampu bercakap serta hanya terlantar di atas katil.
Mohd Hadif setia menjaga Mohd Hafiy dan sentiasa berinteraksi walaupun abangnya kini tidak mampu bercakap serta hanya terlantar di atas katil.

"Setiap hari dia akan bercakap dengan abangnya, walaupun Mohd Hafiy tidak boleh berbuat demikian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Dia juga akan menggosok kepala, mengelap badan serta sentiasa peka dengan keadaan abang.

"Boleh dikatakan setiap hari dia hanya berada di sisi abangnya," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Marak, di sini.

Rohani memberitahu, Mohd Hafiy kini terpaksa memakai lampin pakai buang serta minum susu khas sebanyak enam kali sehari.

Ujarnya, melihat keadaan tersebut dia berharap ada pihak dapat membantu memberikan katil khas serta lampin pakai buang untuk memudahkan urusan penjagaan anak saudaranya itu.

Ujar Rohani, Mohd Hafiz hanya bekerja sebagai pemandu lori dan keadaannya kini yang mengalami patah pada bahagian betis, paha kiri serta kedua-dua belah tangan mungkin menyukarkan untuk kembali bekerja.

"Adik ipar perlu bergantung kepada kerusi roda sepenuhnya, manakala Siti Idayu mengalami patah pada bahagian paha kanan, tulang punggung dan hanya mampu terlantar sahaja.

Mohd Hadif setia menjaga Mohd Hafiy dan sentiasa berinteraksi walaupun abangnya kini tidak mampu bercakap serta hanya terlantar di atas katil.
Mohd Hadif setia menjaga Mohd Hafiy dan sentiasa berinteraksi walaupun abangnya kini tidak mampu bercakap serta hanya terlantar di atas katil.

"Kami berdoa agar mereka anak-beranak diberikan kesembuhan segera serta tabah dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Sinar Harian pada 3 April lalu melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun kini sendirian apabila ibu, ayah dan abangnya cedera parah sementara adik bongsu maut dalam kemalangan di kilometer 49, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, Pasir Puteh.

Kejadian terbabit berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan pulang dari Sungai Tong, Terengganu selepas pulang menyambut Ramadan di rumah keluarga sebelah bapa.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Rohani Abdullah di 03018021329900.

ARTIKEL BERKAITAN:Hadif masih trauma, lihat adik maut depan mata