Lima beranak hilang mata pencarian, bapa hidap kanser

Suhana (tiga tiga dari kiri) menunjukkan imbasan x-ray kanser buah pinggang suaminya, Megat Asraff (dua dari kiri) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gelam.
Suhana (tiga tiga dari kiri) menunjukkan imbasan x-ray kanser buah pinggang suaminya, Megat Asraff (dua dari kiri) ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gelam.
A
A
A

MELAKA - Lima beranak hilang mata pencarian selepas ketua keluarga mereka yang menjadi tempat bergantung disahkan mengidap kanser buah pinggang tahap empat awal tahun ini.

Megat Asraff Megat Adam, 43, yang sebelum ini bekerja sebagai juruteknik kilang terpaksa mengambil cuti sakit disebabkan keadaan dirinya yang sukar bergerak dan sering diserang sakit perut secara tiba-tiba.

Isterinya, Suhana Jaafar, 38, berkata, dia tidak menyangka suaminya disahkan mengidap kanser selepas mengalami sakit perut pada Februari lalu.

Dia berkata, suaminya dikesan menghidap kanser buah pinggang selepas membuat imbasan x-ray dan tomografi berkomputer (CT Scan) berkenaan dengan masalah usus yang dihidapi.

"Pada mulanya suami pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan kerana sakit di bahagian kiri perut dan hasil imbasan doktor beritahu ususnya telah bocor.

"Doktor juga mengesan keadaan buah pinggang kanannya telah diselaputi sesuatu sebelum mengesahkan ia adalah kanser," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam dekat sini pada petang Rabu.

Tambahnya, sejak suami diuji dengan masalah kesihatan, dia sekeluarga juga terpaksa mencatu perbelanjaan harian demi memastikan kos pengangkutan suami ke Hospital Serdang dapat ditampung.

Menurutnya, ada kalanya setiap hujung minggu dia mengambil upah sebagai pembantu di sebuah kedai makan dengan pendapatan RM400 sebulan.

Anak sulung mereka, Megat Rayyan Rayqal Megat Asraff (kiri) melihat bahagian perut bapanya disebabkan kanser buah pinggang.
Anak sulung mereka, Megat Rayyan Rayqal Megat Asraff (kiri) melihat bahagian perut bapanya disebabkan kanser buah pinggang.

Katanya, dengan wang itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sekeluarga selain perlu menjelaskan bayaran sewa rumah RM300 sebulan.

"Saya reda diuji suami yang sakit, cuma saya kasihankan pada anak-anak, mereka masih bersekolah ada masa saya tak dapat berikan wang belanja ke sekolah terutama anak berusia 10 dan 12 tahun," katanya.

Sementara itu, Megat Asraff meluahkan kesedihan kerana isterinya terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga dan mencari pendapatan buat mereka sekeluarga

"Sejak disahkan menghidap kanser, keadaan saya begitu lemah dan tak boleh duduk atau berdiri dalam tempoh yang lama.

"Tak sangka semua ini akan menjadi beban kepada isteri, saya minta maaf kepadanya dan anak-anak," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional 0414041100046329 atas penama Megat Asraff Megat Adam.