X

Kindly register in order to view this article
!

Penagih 'gian' pecah rumah kena cekup

Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan di rampas pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penagih dadah yang mula 'gian' melakukan jenayah pecah rumah diberkas polis di pekarangan sebuah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tebuk Pulai, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek berusia 28 tahun itu yang terlibat dalam dua kes pecah rumah sekitar daerah itu ditahan kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, turut ditemui beberapa barangan hasil curi antaranya televisyen, tiga tong gas dan resit belian.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif heroin dan memiliki dua rekod lampau narkotik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek mula dikesan melakukan kegiatan pecah rumah di Kampung Simpang Lima sekitar Mac lalu.

"Penghuni rumah terbabit meninggalkan rumah selama 19 hari bermula 10 Mac hingga 29 Mac lalu dan apabila pulang semula ke rumahnya mendapati barangan dalam rumah berselerak.

"Setelah memeriksa kawasan sekitar dapur rumahnya, didapati pintu berkenaan dipecahkan dan sebuah televisyen dan dua tong gas bernilai RM1,500 lesap," katanya.

Katanya, suspek juga dipercayai melakukan kegiatan sama di Kampung Sungai Nipah pada 16 Mac lalu.

"Suspek memecah masuk kediaman terbabit dan melarikan sebuah komputer tiba dan tiga tabung duit syiling dengan nilai kerugian RM2,000," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!