Ustaz Wadi dakwa JAIPs tidak beri kerjasama

Berlaku pertelingkahan di pintu pagar pejabat JAIPs apabila hanya seorang peguam dan Ustaz Wadi sahaja dibenarkan masuk.
Berlaku pertelingkahan di pintu pagar pejabat JAIPs apabila hanya seorang peguam dan Ustaz Wadi sahaja dibenarkan masuk.
A
A
A

ALOR SETAR - Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mendakwa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak memberi kerjasama ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.

Katanya, beliau hadir pada jam 10.30 pagi di pintu pagar pejabat JAIPs bersama barisan peguam untuk sesi siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, berlaku pertelingkahan apabila hanya seorang peguam dan dirinya sahaja dibenarkan masuk.

"Apabila berhujah, mereka mengatakan bahawa enakmen mereka tidak membenarkan lebih daripada dua orang masuk bagi tujuan siasatan.

"Namun, seorang pegawai JAIPs memaklumkan bahawa dua peguam dan saya dibenarkan masuk selepas mendapat arahan daripada pihak atasannya," katanya dalam kenyataan rasmi dimuat naik di Facebook miliknya pada Selasa.

Beliau mendakwa, mereka dibiarkan menunggu beberapa ketika selepas masuk di bahagian penguat kuasa sebelum dipanggil ke dalam bilik siasatan.

"Telah berlaku lagi pertelingkahan antara dua pegawai JAIPs dengan barisan peguam lalu mereka telah mengarahkan peguam keluar dari bilik siasatan, yang mana perkara ini dibantah oleh saya," katanya.

Ustaz Wadi ketika menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.
Ustaz Wadi ketika menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.

Wadi Annuar turut mendakwa, tiada apa-apa soalan dikemukakan dalam tempoh kira-kira setengah jam menunggu, sekali gus ia hanya membuang masa peguam serta dirinya.

Menurutnya, sehingga jam 11.30 pagi, beliau keluar tanpa sebarang siasatan daripada dua pegawai JAIPs.

Difahamkan, Wadi Annuar bersama dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 pagi.

Beliau hadir untuk sesi keterangan berhubung penyertaannya pada satu program yang diadakan di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini pada 28 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.