Kaedah baharu pelaksanaan gaji minimum akan dirangka

Sivakumar
Sivakumar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kaedah baharu bagi pelaksanaan gaji minimum akan dirangka bagi memastikan kebajikan setiap pekerja di negara ini terbela, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau yang menyifatkan gaji minimum sebanyak RM1,500 agak rendah berkata, majikan perlu memastikan gaji yang diterima pekerja setimpal dengan kemahiran dan pengetahuan mereka.

"Dalam mesyuarat kabinet nanti, kita cari kaedah baharu untuk tetapkan gaji pekerja dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan itu berkata, isu pelaksanaan gaji minimum akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan untuk mendapatkan penyelesaian 'sekali dan untuk semua'.

Perintah gaji minimum dengan kadar minimum RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei tahun lepas untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Januari lepas kepada 1 Julai depan.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan masing-masing RM1 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi tujuan pengurusan

Sivakumar berkata, peruntukan RM1 juta kepada MTUC dan Cuepacs akan membantu kedua-dua badan itu untuk memperjuangkan hak pekerja di negara ini.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan dana tambahan RM1 juta untuk Cuepacs.

"Terima kasih juga kepada kerajaan yang cakna dengan upah penjawat awam dari kalangan gred bawahan,” katanya.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani pula berkata, pelaksanaan gaji minimum sewajarnya dikaji semula supaya ia lebih progresif dan bermaruah selaras kos sara hidup ketika ini.

"Pemantuaan kerajaan juga perlu dibuat mengenai pelaksanaan gaji minimum supaya majikan tidak culas," katanya yang turut merakam penghargaan kepada kerajaan diberikan peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu pengurusan MTUC. - Bernama