11 kubur 'hilang' batu nisan

Muhammad Izzul Hafiq menunjukkan salah satu batu nisan daripada 11 kubur yang dicuri ketika ditemui pengamal media di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan. - Foto Bernama
Muhammad Izzul Hafiq menunjukkan salah satu batu nisan daripada 11 kubur yang dicuri ketika ditemui pengamal media di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, di sini, ‘hilang’ batu nisan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.

Menerusi tinjauan yang dilakukan di tanah perkuburan itu pagi tadi, kebanyakan batu nisan dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.

Penggali kubur Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, berkata, terdapat beberapa waris yang menemuinya selepas terkejut melihat ketiadaan batu nisan ketika menziarahi kubur pada pagi raya seminggu lepas, sebelum ia tular di laman Facebook sejak semalam.

Katanya, perkuburan di tanah wakaf itu tidak dikunci atas permintaan orang ramai terutama waris bagi memudahkan ia untuk diziarahi sekali gus terdedah kepada pencerobohan.

"Ada ramai (waris) mengadu ketika ziarah kubur pada pagi raya batu nisan (ahli keluarga) hilang, kita tidak boleh buat apa kerana kubur ini tanah wakaf dan pada waktu malam juga tiada siapa jaga.

"Kita syak kegiatan ini dilakukan ketika waktu tiada pengebumian, mungkin waktu malam. Kebanyakan batu nisan yang dicuri adalah batu sungai dalam sembilan set, kerana boleh dijual semula dan nama si mati boleh dipotong,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu hari ini.

Muhammad Izzul Hafiq berkata, selain batu sungai, batu nisan putih yang kebiasaannya digunakan dan bernilai RM350 bagi satu set turut dicuri dan turut menjelaskan kejadian tersebut kali pertama berlaku di tanah perkuburan yang dibuka sejak awal 90-an itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

Justeru, beliau menasihati orang ramai terutama waris untuk membuat laporan bagi memudahkan siasatan dilakukan. - Bernama