'Jangan lambat ambil anak sekolah' - NUTP

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa ibu bapa agar tidak lambat mengambil anak-anak selepas waktu sekolah bagi mengelakkan kanak-kanak diancam strok haba setelah sesi persekolahan dibuka semula 2 Mei ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, seramai tiga juta murid berusia 12 tahun dan ke bawah termasuk prasekolah akan kembali semula ke sekolah pada minggu depan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Tegasnya, ibu bapa perlu mainkan peranan bagi mengelakkan anak-anak mereka terdedah dengan cuaca panas yang boleh memberi ancaman strok haba.

"Jangan lambat ambil anak selepas waktu sekolah dan jangan biarkan anak-anak bermain dalam cuaca panas selepas waktu sekolah.

"Di pihak guru, usaha akan dijalankan sebaik mungkin bagi memastikan tahap kesihatan murid semasa di sekolah akan terus terjaga dalam berhadapan isu cuaca panas ini," katanya kepada Sinar Ahad.

Jemaah Menteri pada Jumaat dilaporkan akan berbincang sama ada terdapat keperluan melanjutkan cuti persekolahan sempena Hari Raya susulan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai langkah telah diambil termasuk mengkoordinasi kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri bagi membantu rakyat menghadapi fenomena berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin menjelaskan, dalam situasi cuaca sekarang, tiada keperluan mendesak untuk memanjangkan tempoh cuti sekolah.

"NUTP berpandangan sekolah boleh beroperasi sebagaimana yang dijadualkan tetapi dengan beberapa pematuhan kepada garis panduan penutupan institusi pendidikan yang telah dikeluarkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi surat bertarikh 28 April 2023.

"Yang penting, aktiviti luar bilik darjah seperti kokurikulum, sukan dan aktiviti pendidikan jasmani perlu ditangguhkan. Cadangan pihak KPM dalam garis panduan tersebut telah menyeluruh dalam usaha mengatasi isu mengoperasikan sekolah dalam cuaca panas," ujarnya.

Garis panduan itu menetapkan pentadbir boleh menutup institusi pendidikan sekiranya cuaca panas mencapai suhu tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut dan diisytiharkan gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pentadbir juga diarahkan menghentikan semua aktiviti luar yang melibatkan murid dan guru atau pensyarah sekiranya suhu panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama ialah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.