Sambutan raya suram, suami melecur 48 peratus tong gas terbakar

Keadaan Zulkarnaeni yang masih dirawat di wad ICU Hospital Melaka. Gambar kanan: Zarni Yuherlina
Keadaan Zulkarnaeni yang masih dirawat di wad ICU Hospital Melaka. Gambar kanan: Zarni Yuherlina
A
A
A

MELAKA - Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebuah keluarga di sini tidak semeriah tahun lalu selepas ketua keluarga mereka masih bertarung nyawa di hospital selepas muka dan badan melecur dalam satu kejadian pada Ramadan lalu.

Bercerita mengenai insiden itu, Zarni Yuherlina Ansharuddin, 46, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, dia mahu menghidupkan dapur gas untuk menyiapkan bekal berbuka suaminya, Zulkarnaeni Lubis, 50.

Namun menurutnya, secara tiba-tiba tong gas berkenaan terbakar sebelum suami yang berada dalam bilik air cuba membantu dengan menjirus air ke tong gas tersebut menyebabkan api terus menyambar ke pintu bilik air berdekatan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan suaminya terperangkap dalam bilik air sebelum dibantu keluar.

"Disebabkan insiden itu, suami saya melecur kira-kira 48 peratus dan sehingga sekarang masih dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak 16 Ramadan lalu.

"Tiada makna raya bagi kami sekeluarga kali ini, dengan keadaan suami yang diuji sedemikian rupa, namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan-Nya," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Bukit Beruang di sini pada Sabtu.

Dia yang bekerja sebagai pembantu dapur dengan gaji RM70 sehari juga buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga lebih-lebih lagi tiga daripada empat anaknya berusia 10, 12 dan 16 tahun masih bersekolah.

Menurutnya, jika sebelum ini suaminya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyediakan segala keperluan dan kelengkapan mereka lima beranak namun sekarang tidak lagi.

Zarni Yuherlina bersama anak ketiganya menunjukkan gambar suaminya yang sedang menerima rawatan di hospital.
Zarni Yuherlina bersama anak ketiganya menunjukkan gambar suaminya yang sedang menerima rawatan di hospital.

Ujarnya, ketika kejadian suaminya baharu 15 hari kembali bekerja selepas cuti sakit kerana mengalami patah kaki akibat kemalangan di depan rumah.

Malah katanya, sebelum raya suaminya telah menjalani pembedahan kulit di peha dan lengan untuk tampal di kawasan yang melecur, namun tidak berjaya apabila kulit itu tidak melekat dan bernanah.

"Jadi doktor memaklumkan akan melakukan proses itu sekali lagi pada Selasa ini dan harap berjaya.

"Apa yang boleh saya lakukan saat ini adalah terus berdoa agar ada keajaiban daripada ALLAH SWT supaya suami pulih dan sihat kembali," katanya.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian dan menyalurkan sumbangan anda ke akaun bank milik Zarni Yuherlina 6928208203 iaitu melalui akaun Public Bank.