Menyamar ejen penapis air untuk dapatkan duit

Ismail Dollah
Ismail Dollah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditahan polis selepas menyamar sebagai ejen syarikat penapis air apabila memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintendan Ismail Dollah berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam selepas menerima makluman dari salah seorang mangsa yang telah diperdaya suspek.

"Pada hari sama, suspek dilaporkan telah pergi ke rumah mangsa di kawasan Bandar Seri Alam dengan mengaku dirinya ejen syarikat penapis air yang hendak menjalankan pemeriksaan berkala pada mesin penapis air milik mangsa.

"Selepas pemeriksaan, suspek kemudiannya memberitahu penapis air mangsa perlu ditukar yang mana mangsa perlu membayar barangan tersebut dengan anggaran harga bernilai RM120 hingga RM400," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ismail berkata, suspek yang telah berjanji untuk datang semula ke rumah suspek kemudiannya terus melarikan diri selepas menerima wang.

"Mangsa kemudiannya buat semakan dengan pihak syarikat dan telah dimaklumkan suspek sudah tidak lagi bekerja sebagai ejen pemeriksaan penapis air bagi syarikat itu.

"Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis dan hasil siasatan akhirnya membawa kepada tangkapan suspek berkenaan," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat kemudiannya berjaya mendapatkan pengakuan suspek berhubung penglibatannya dalam kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini sebanyak 13 kes melibatkan suspek yang sama telah dilaporkan berlaku di kawasan pentadbiran Polis Daerah Seri Alam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.