Hos TV Amerika, Jerry Springer meninggal dunia

Jerry Springer meninggal dunia pada usia 79 tahun di kediamannya di Chicago, AS pada Khamis. - Foto fail AP
Jerry Springer meninggal dunia pada usia 79 tahun di kediamannya di Chicago, AS pada Khamis. - Foto fail AP
A
A
A

PERSONALITI televisyen terkenal antarabangsa, Jerry Springer meninggal dunia pada usia 79 tahun di kediamannya di Chicago, Amerika Syarikat (AS) semalam (Khamis).

Mendiang sangat terkenal menerusi program TV, The Jerry Springer Show iaitu sebuah rancangan bual bicara yang sangat ‘kasar’ sehinggakan aksi pergaduhan, ‘kerusi melayang’ dan golongan terpinggir di AS turut dibawa ke set untuk tontonan masyarakat global.

Berita kematian Springer disahkan oleh ejen publisiti mendiang kepada portal berita BBC.

Jene Galvin, seorang rakan dan jurucakap keluarga mendiang menyifatkan, pemergian Springer "tiada pengganti."

"Keupayaan Jerry berhubung dengan orang ramai adalah asas kejayaannya dalam segala bidang yang disertainya sama ada dalam politik, penyiaran atau hanya bermesra dengan orang ramai di jalanan.

"Pemergiannya tidak dapat diganti dan kehilangannya sangat menyakitkan, tetapi kenangan berhubung kebijaksanan, jiwa besarnya dan sifat humor beliau akan terus hidup," kata Galvin.

Program bual bicara yang dikendali Springer menjadi simbol penerbitan rancangan televisyen ‘bukan intelek’ selama hampir 5,000 episod dengan pelbagai konfrontasi, penggunaan kata-kata kesat serta pendedahan kecurangan.

Seorang lagi personaliti TV, Ricki Lake turut berkongsi kesedihan dengan pemergian Springer di akaun media sosialnya.

"Baru terjaga dan mendengar berita sangat sedih mengenai pemergian pesaing dan rakan lama saya, Jerry Springer. Seorang lelaki yang baik hati. Semoga dia berehat dengan tenang," tulis Lake dalam hantaran berkenaan.

Rakan seperjuangan mendiang, Piers Morgan pula menggambarkan Springer sebagai "ikon TV dan seorang lelaki yang bijak, mesra dan lucu".

"Saya suka bekerja dengannya di AGT [America's Got Talent], suka berkumpul dengannya (kami tinggal di hotel yang sama selama dua tahun), suka berdebat dengannya (beliau menggemari politik), suka segalanya tentang beliau," tambah Morgan.

Springer dilahirkan di stesen bawah tanah London Highgate pada 1944 semasa Perang Dunia Kedua.

Ibu bapanya yang merupakan pelarian Yahudi dari wilayah Jerman berada di stesen itu untuk berteduh daripada serangan bom Jerman pada masa itu.

Springer berpindah ke Queens, New York, pada usia empat tahun bersama-sama ibu bapa dan kakaknya.

Beliau memulakan kerjayanya dalam politik, setelah belajar sains politik dan undang-undang di universiti.

Mendiang juga pernah menjadi penasihat kepada Robert F Kennedy dan bertugas sebagai Datuk Bandar Cincinnati dari 1977-78.

Selepas usahanya untuk menjadi Gabenor Ohio gagal, Springer memilih menyertai bidang kewartawanan televisyen. - Awani/ Agensi