Awas serangan strok haba, peka keadaan anak

Selepas kanak-kanak lelaki menjadi korban pertama strok haba, seorang lagi mangsa yang merupakan bayi berusia setahun jadi korban strok haba.
Selepas kanak-kanak lelaki menjadi korban pertama strok haba, seorang lagi mangsa yang merupakan bayi berusia setahun jadi korban strok haba.
A
A
A

KETIKA umat Islam masih merasai kenikmatan menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan berita menyayat hati melibatkan korban pertama akibat strok haba yang berlaku di Kelantan.

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok, Bachok itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik dengan hasil bedah siasat mengesahkan Muhamad Syamil Aqil maut akibat serangan itu selain dehidrasi.

Lebih menyayat hati, pakar perubatan turut mengesahkan buah pinggang dan jantung 'hangus' selain air dan darah dalam badan mangsa sudah kering.

Kita juga dikejutkan dengan berita seorang bayi perempuan berusia setahun dari Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan yang menjadi mangsa kedua serangan strok haba.

Kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Nur Imani Ahmad Faris Fazli dan merupakan anak tunggal.

Seperti Muhamad Syamil Aqil, bayi itu juga mengalami simpton yang hampir sama hingga air dalam badan semua kering, termasuk paru-paru mengecut.

Mengambil pengajaran daripada situasi tersebut, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak kecil perlu lebih peka terhadap keadaan selain memastikan keberadaan mereka agar tidak terdedah kepada cuaca panas untuk tempoh yang lama.

Strok haba boleh berlaku apabila badan mengalami peningkatan suhu mendadak sehingga 40 darjah Celsius atau lebih dalam jangka masa 10 hingga 15 minit selain kegagalan berpeluh.

Antara tanda-tanda lain adalah kerap sakit kepala, kulit kering dan kemerah-merahan, badan lesu dan kerap pengsan serta lidah menjadi bengkak.

Oleh yang demikian, orang ramai perlu peka dengan tanda dan gejala strok haba supaya tindakan segera dapat diambil.

Selain mengakibatkan kematian, mereka yang mengalami strok haba merasai kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular selain hilang keupayaan kekal.

Walaupun ketika ini masih 'mood' raya, kita perlu pastikan keselamatan dan kesihatan dilindungi selain sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Cuba elakkan sebarang aktiviti luar untuk tempoh waktu yang panjangnterutama ketika cuaca panas terik.