KKM arah tarik balik mi segera ada Ethylene Oxide

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Dr Muhammad Radzi
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Dr Muhammad Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela bagi produk mi segera tempatan dan mi segera dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagi sampel mi segera produk tempatan mendapati ia mematuhi perundangan.

“Namun, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk tersebut yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

“Seterusnya, berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia, KKM juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk mi segera keluaran negara Indonesia ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

Muhammad Radzi berkata, bagi produk mi segera jenama dari Indonesia, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas di semua pintu masuk negara.

Bukan itu sahaja, beliau turut meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran.

Pada masa sama, Muhammad Radzi menjelaskan isu penarikan semula produk keluaran negara Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada tahun 2022.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun import.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan mendapati 11 daripadanya mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan itu termasuklah kompaun, perintah mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.