Dua jenama mi segera dikesan mengandungi bahan penyebab kanser

Mi segera disahkan mengandungi bahan penyebab kanser- Foto Jabatan Kesihatan Taipei.
Mi segera disahkan mengandungi bahan penyebab kanser- Foto Jabatan Kesihatan Taipei.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA) pada Isnin, jabatan itu mendedahkan dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia itu mengandungi bahan etilena oksida iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.

Menurut jabatan itu, keputusan diperoleh menerusi ujian yang dibuat ke atas sampel bungkusan mi segera terbabit.

"Peruncit yang menjual mi segera jenama berkenaan diminta menurunkan barangan terbabit dari rak pameran.

"Pengimport produk bakal didenda NT60,000 (AS1957.87) hingga NT200 juta," kata laporan itu.

Menerusi maklumat di laman web Biro Toksik dan Bahan Kimia di bawah Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar peringkat kabinet, etilena oksida berisiko beracun apabila dimakan atau dihidu.

Selain daripada membawa kepada penyakit limfoma dan leukemia, etilena oksida juga boleh menjejaskan kulit dan mata jika bersentuhan dengan bahan tersebut dan boleh menyebabkan berlakunya kecatatan pada kelahiran.

Sementara itu, Ketua Bahagian Makanan dan Dadah Jabatan Kesihatan Taipei, Chen Yi-ting berkata, pemeriksaan mi segera di bandar itu dibuat secara rawak melibatkan 30 produk terpilih dari pasar raya, kedai serbaneka, pasar raya besar, pasar basah tradisional, kedai makanan Asia Tenggara dan pengimport borong di bandar.