Bursa Malaysia ditutup tinggi

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi pada Selasa susulan aktiviti membeli saham berharga rendah dalam kaunter wajaran tinggi perladangan terpilih semasa sesi akhir dagangan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.08 mata kepada 1,425.19 daripada paras penutup 1,422.11 pada Khamis minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.16 mata kepada 1,422.27 dan bergerak antara paras 1,420.84 dan 1,427.00 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 562 berbanding 329, manakala 387 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.56 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 2.46 bilion unit bernilai RM1.46 bilion pada Khamis.

Saham perladangan meningkat apabila para pelabur memberikan reaksi positif kepada berita kerjasama dengan China susulan permeteraian memorandum persefahaman di Beijing baru-baru ini.

MoU yang dimeterai antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan China Chamber of Commerce of Import and Export of Foodstuffs, Native Produce and Animal By-products (CFNA) meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam perdagangan minyak sawit selain mengukuhkan kedudukan dan bahagian pasaran Malaysia di China.

MPOB berkata, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke China dijangka meningkat tahun ini susulan kerjasama tersebut.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau ditutup kebanyakannya rendah hari ini berikutan jualan besar-besaran dalam sektor teknologi susulan kebimbangan penurunan perolehan.

Sementara itu, para pelabur juga bimbang peningkatan impak kadar faedah tinggi dan kekangan ekonomi akan memberi kesan negatif kepada pendapatan, katanya.

"Bagi bursa tempatan, kami menjangka dagangan lengang minggu ini berikutan cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain.

"Bagaimanapun, para pelabur juga menyedari akan peluang aktiviti membeli saham berharga rendah memandangkan penilaian murah indeks petunjuk pasaran itu,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Thong berkata, Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,420-1,435 bagi minggu ini.

"Dari segi teknikal, kami melihat paras ketahanan pada 1,440 dan paras sokongan pada 1,415,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM8.65 manakala CIMB susut tiga sen kepada RM5.16.

Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM3.93 dan RM7.20.

CelcomDigi dan Tenaga Nasional naik tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM4.41 dan RM8.93.

Dalam kalangan kaunter cergas, Jade Marvel turun satu sen kepada 26.5 sen, Salutica meningkat 23.5 sen kepada RM1.05 dan SMRT menokok setengah sen kepada 67 sen manakala BSL tidak berubah pada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.14 mata kepada 10,463.10, Indeks FBMT 100 meningkat 13.74 mata kepada 10,149.45 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 31.21 mata kepada 10,806.53.

Indeks FBM ACE turun 23.85 mata kepada 5,319.64 dan Indeks FBM 70 jatuh 15.60 mata kepada 13,629.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.20 mata kepada 171.96, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 42.02 mata kepada 15,623.84 manakala Indeks Perladangan menambah 95.09 mata kepada 6,928.61.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.71 bilion unit bernilai RM1.30 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM1.25 bilion pada Khamis minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 330.85 juta unit bernilai RM46.15 juta berbanding 226.20 juta unit bernilai RM27.28 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 517.90 juta saham bernilai RM197.00 juta daripada 463.53 juta saham bernilai RM186.69 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 302.32 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (568.18 juta); pembinaan (33.61 juta); teknologi (194.27 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.15 juta); hartanah (130.38 juta); perladangan (20.40 juta); REITs (4.79 juta), dana tertutup (69,300); tenaga (112.20 juta); penjagaan kesihatan (150.66 juta); telekomunikasi dan media (51.67 juta); pengangkutan dan logistik (33.04 juta); dan utiliti (61.25 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat, 21 April, 2023, dan Isnin, 24 April, 2023, bersempena dengan cuti umum tambahan Hari Raya Aidilfitri. - Bernama