Aidilfitri suram tanpa air

Shanker (kanan) menunggu Abdul Aziz menghantar bekalan air ke rumahnya di Taman Murni, Gurun.
Shanker (kanan) menunggu Abdul Aziz menghantar bekalan air ke rumahnya di Taman Murni, Gurun.
A
A
A

GURUN - Sambutan Aidilfitri bagi penduduk Taman Murni di sini ternyata agak suram tanpa bekalan air mencukupi yang berlarutan sejak kira-kira 40 hari lalu.

Pesara swasta, Alfian Abdul Wahab, 54, berkata, ketiadaan air sejak lebih sebulan itu menyebabkan sambutan hari raya kurang meriah berikutan kesukaran untuk melakukan persiapan sekali gus menerima tetamu dan melaksanakan tradisi kunjung-mengunjung.

Alfian melihat kapasiti air yang disimpan dalam tong tambahan yang terpaksa dibeli setelah bekalan terganggu lebih 40 hari lalu.
Alfian melihat kapasiti air yang disimpan dalam tong tambahan yang terpaksa dibeli setelah bekalan terganggu lebih 40 hari lalu.

"Nak raya ni agak terbatas sikit sebab kita bergantung sepenuhnya kepada penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke rumah dalam tempoh dua hari sekali, dan kita juga tiada jadual penghantaran yang konsisten sama ada akan dibuat sebelah pagi atau petang, jadi kena tunggu sepanjang masa, susahlah nak keluar, kerja lain pun terganggu.

"Jika ada jadual hantar pukul 5 petang sebagai contoh, kita boleh tunggu dan uruskan hal lain pada sebelah pagi, lebih mudah," jelasnya.

Penoreh getah, Md Saad Lebar, 66, berkata, bagi memudahkan bekalan yang dihantar mengalir ke dalam tandas, penduduk terpaksa memasang pam khas selain tangki tambahan yang memerlukan kos tinggi.

"Kalau tak pasang, kena angkut air masuk ke dalam, dengan keadaan sudah berusia macam ni, memang teruk kalau kena angkut satu per satu, jadi kebanyakan penduduk pasang pam," jelasnya.

Menurut Md Saad, bekalan yang dihantar akan digunakan untuk tujuan mencuci baju serta membersihkan diri berikutan air itu agak keruh dan perlu mencari alternatif lain untuk minum atau masak.

Seorang lagi penduduk, Shanker Subramanian, 49, berkata, aktiviti harian dilakukannya bersama isteri dan tiga anak agak terbatas sejak ketiadaan air sebulan lalu.

"Kena jimat guna air, kalau dulu mandi tiga kali sehari, sekarang dua kali sahaja, itupun dalam kuantiti yang terhad kerana nak simpan air jika berlaku kecemasan.

"Susah memang susah tetapi apa boleh buat," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Firdaus Johari berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan telah menyediakan perancangan Pelan Kontigensi Perayaan 2023.

Menurutnya, sepanjang perayaan Aidilfitri, SADA telah membuka Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Masjid Seri Jerai, Gurun bermula 21 hingga 23 April 2023 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

"PKS ini bagi memudahkan penduduk di sekitar Gurun membuat aduan, mendapatkan maklumat terkini dan memperoleh bekalan air melalui tangki-tangki air yang ada disediakan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Penghantaran bekalan air menggunakan lori dibuat dua hari sekali ke rumah penduduk terjejas.
Penghantaran bekalan air menggunakan lori dibuat dua hari sekali ke rumah penduduk terjejas.

Sinar Harian yang membuat tinjauan ke Taman Murni turut menemui petugas yang sedang mengagihkan bekalan air di rumah penduduk terjejas pada Ahad.

Abdul Aziz Alami, 24, berkata, petugas turut berkorban pada Hari Raya Aidilfitri semata-mata mahu melaksanakan penghantaran bekalan air ke rumah penduduk.

"Kami korbankan raya kami sebab nak hantar air kat orang (penduduk), orang nak air," jelasnya.

Menurut Abdul Aziz, pada Hari Raya pertama, pengagihan dibuat olehnya bermula jam 4 petang hingga jam 2 pagi meliputi kawasan Tupah, Kampung Dalam, Taman Seri Bayu dan Taman Bandar Baru, Sungai Lalang sebelum diteruskan pada Hari Raya kedua, pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keluhan kira-kira 600 penduduk Taman Murni yang terputus bekalan air sejak Mac, mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan sebelum kedatangan Aidilfitri.