Penyesalan di sebalik tembok penjara

Aktiviti keagamaan antara yang ditekankan di dalam Penjara Pokok Sena terutamamya kepada penghuninya yang beragama Islam.
Aktiviti keagamaan antara yang ditekankan di dalam Penjara Pokok Sena terutamamya kepada penghuninya yang beragama Islam.
A
A
A

POKOK SENA - Sambutan Syawal seorang bekas pengarah syarikat pada tahun ini berbeza apabila perlu menyambutnya di sebalik tembok besi Penjara Pokok Sena, dekat sini selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun sejak November tahun lalu.

Lelaki berusia 50 tahun itu yang dikenali sebagai Ustaz di kalangan penghuni penjara telah didapati bersalah dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Menurutnya, suasana menyambut hari raya selepas sebulan berpuasa kali ini pastinya berbeza dan dia merindui juadah nasi lemak sambal sotong yang dimasak isterinya pada pagi setiap Aidilfitri.

Ustaz mengakui sambutan Aidilfitri berbeza buatnya kerana kali pertama menyambut di dalam penjara.
Ustaz mengakui sambutan Aidilfitri berbeza buatnya kerana kali pertama menyambut di dalam penjara.

"Allah bagi kepada saya 20 tahun bersama dengan keluarga dan Alhamdulillah rasa senang. Kemudian Allah uji kita dengan kemampuan tidak mampu buat bayaran balik, pulangkan duit jemaah, kemudian ada berlaku sedikit kepincangan pengurusan kewangan akhirnya saya buat pengakuan bersalah.

"Janganlah ikut jejak langkah yang pernah saya lalui daripada berada dalam bahagia masuk kes sini dalam agak sukar walaupun akhirnya saya menerima hukuman ini dengan penuh kerelaan," katanya semasa ditemui di Penjara Pokok Sena, dekat sini.

Turut bersama dalam kunjungan adalah Presiden Persatuan Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wajihan dan aktivis masyarakat, Natipah Abu.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, kali ini ahli keluarganya akan hadir ke penjara untuk melawatnya dalam suasana yang cukup berbeza.

"Ini adalah kali pertama raya saya berada di dalam dan kenangan saya bersama dengan keluarga isteri yang kami selalu balik ke kampung di Kedah dulu kemudian balik ke Sarawak dan Johor (akan dikenang).

"Walaupun sedih setiap hari bila kita mengingat kenangan-kenangan yang ada itu tapi moga Allah beri kepada saya kekuatan untuk melalui semua ini, cabaran yang ada untuk saya lalui dengan penuh tabah," ujarnya yang kini diberi tanggungjawab untuk mengajar hal ehwal agama Islam kepada banduan baru di penjara tersebut.

Bagi penghuni wanita yang dikenali dengan panggilan Bonda pula dipenjara selepas dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 302 kerana membunuh anak tirinya enam tahun lalu.

Enam tahun bonda berada di dalam penjara dan perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun lagi sebelum dibebaskan.
Enam tahun bonda berada di dalam penjara dan perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun lagi sebelum dibebaskan.

Walaubagaimanapun, hukuman kepada wanita berusia 38 tahun ini dipinda ke Seksyen 304 selepas mahkamah mendapati dia membunuh tanpa niat dan perlu menjalani tempoh penjara enam tahun lagi sebelum dibebaskan.

"Saya dimasukkan ke dalam penjara ketika mengandung dan terpaksa berpisah dengan anak perempuan sebaik sebulan dilahirkan untuk dijaga ibu bapa selepas suami menceraikan saya.

"Saya reda dan terima hukuman ini walaupun bukan atas kesalahan saya mungkin ini kifarah untuk dosa-dosa lama ataupun Allah nak hindarkan saya daripada orang macam ini yang duduk sekeliling bila saya duduk sini (penjara)," kata ibu kepada tiga cahaya mata yang sebak kerana tidak dapat merayakan sambutan Aidilfitri bersama orang tersayang.

Seorang lagi banduan wanita muda yang juga banduan akhir dan mahu dikenali Yati pula berkata, dia tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta sejak beberapa tahun lalu disebabkan kesilapan dirinya yang dilakukan pada 2017.

Dia yang berusia 26 tahun dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh bayinya semasa menuntut di semester pertama di sebuah kolej di Kedah.

Yati gagal menahan sebak dan memeluk aktivis masyarakat, Natipah Abu yang membuat kunjungan ke Penjara Pokok Sena.
Yati gagal menahan sebak dan memeluk aktivis masyarakat, Natipah Abu yang membuat kunjungan ke Penjara Pokok Sena.

Yati terlanjur dengan seorang penuntut lelaki namun dia tidak tahu hamil sehinggalah sakit perut pada 30 Mac 2017 dan terus bergegas ke tandas kerana menyangka datang bulan.

Selepas menahan sakit, dia terkejut apabila mendapati bayi meluncur terus ke lubang tandas dan disebabkan panik dia menarik tali pusat sehingga keluar sebelum meninggalkan bayi berkenaan yang dipercayai sudah meninggal dunia di dalam tandas tersebut.

"Nasihat saya remaja-remaja dekat luar sana tu kalau nak berkawan tu jangan sampai terlanjur bila jadi macam saya, kita menyesal tak boleh nak buat apa dah," katanya yang kini dalam proses rayuan kepada tiga hakim bagi meringankan hukuman yang sedang dihadapinya.

Yati kini mengakui sentiasa berdoa agar dapat pulang segera ke pangkuan keluarganya dan sering menitiskan air mata mengenangkan kembali suasana bersalam dengan kedua orang tuanya pada pagi Aidilfitri.