Himpunan Perpaduan Ummah Pahang gariskan 7 ketetapan

Abdul Hadi, Rosli, Wan Rosdy dan Mohamad bersama deklarasi yang ditandatangani.
Abdul Hadi, Rosli, Wan Rosdy dan Mohamad bersama deklarasi yang ditandatangani.
A
A
A

KUANTAN - Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 malam tadi mengariskan tujuh ketetapan menyentuh soal kedaulatan Islam, hak istimewa orang Melayu dan pribumi, kedaulatan institusi raja, bahasa Melayu dan hak kaum lain yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.

Tujuh ketetapan itu ialah, menyeru seluruh umat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan meletakkan Islam sebagai asas perpaduan dalam aspek politik, kenegaraan dan sosio ekonomi sekali gus menjadikan empat asas hukum Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qias ulama sebagai sumber rujukan paling utama.

Seterusnya mempertahankan secara bersungguh-sungguh peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Pelembagaan Negara.

Himpunan itu turut membuat ketetapan dengan menyeru semua pihak bermula dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri mengambil tindakan untuk mengukuhkan serta mempertahankan Institusi Raja Melayu sebagai payung negara dan Islam

Selain itu mempertahankan dan mengukuhkan hak istimewa orang Melayu dan pribumi sejajar dengan semangat yang dicapai ketika kemerdekaan negara pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.

Pengukuhan perkara itu mesti menjadi manifestasi semua sektor kerajaan dan swasta dalam pelbagai segmen antaranya pendidikan, agihan ekonomi negara, peluang pekerjaan dan seumpamanya.


Wan Rosdy dan Rosli menandatangani deklarasi yang mengariskan tujuh ketetapan pada Himpunan Perpaduan Ummah Pahang, di sini malam tadi.
Wan Rosdy dan Rosli menandatangani deklarasi yang mengariskan tujuh ketetapan pada Himpunan Perpaduan Ummah Pahang, di sini malam tadi.

Turut digariskan jamin keadilan untuk semua kaum yang menjadi rakyat di negara ini selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Himpunan Perpaduan Ummah Pahang menetapkan agar mengukuhkan perlaksanaan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan teras komunikasi utama semua sektor

Selain itu mengekang dan menentang sebarang penglibatan asing untuk campur tangan di dalam hal ehwal dalaman negara termasuk yang berselindung di sebalik pelbagai perjanjian antarabangsa turut termasuk dalam ketetapan tersebut.

Ketetapan tersebut dibacakan Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar sebelum deklarasi itu ditandatangani Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang berlangsung malam tadi mendapat sambutan apabila lebih 15,000 tetamu hadir sebagai tanda sokongan terhadap himpunan yang bermatlamat memperkukuhkan perpaduan umat dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

Turut hadir Setiausaha Agong UMNO, Tan Seri Annuar Musa dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan, Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan kepimpinan UMNO serta PAS pusat, negeri, bahagian dan cawangan.