Solat Aidilfitri: Negeri Sembilan galak jemaah pakai pelitup muka

Aminuddin (empat dari kiri) ketika Program Mantai Aidilfitri 2023 di Sikamat pada Khamis. - Foto YAB MBNS
Aminuddin (empat dari kiri) ketika Program Mantai Aidilfitri 2023 di Sikamat pada Khamis. - Foto YAB MBNS
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan kepada semua jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau di negeri ini menggunakan pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sebagai usaha menjaga kesihatan diri sendiri dan orang lain di saat negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik.

"Kita belum wajibkan, tetapi pada siapa yang ingin menggunakan pelitup muka ataupun sejadah saya juga amat mengalu-alukan kerana ketika saya solat Qiam dan solat Subuh di Masjid Taman Tunku Jaafar, saya lihat ramai warga emas memakai pelitup muka dan menggunakan sejadah masing-masing.

"Jadi, saya rasa ini satu keprihatinan yang baik dari kalangan mereka untuk menjaga kesihatan. Ini harus digalakkan tetapi kita bukan wajibkan lagi di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mantai Aidilfitri 2023 di Sikamat di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata, pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan.

Beliau berkata, negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.

Sementara itu, mengulas mengenai program mantai, Aminuddin berkata, ia merupakan tradisi unik masyarakat Negeri Sembilan di mana aktiviti melapah daging sembelihan dilakukan sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan dan Syawal.

"Bagi meraikan tradisi ini, kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan program Mantai Perdana di 19 lokasi seluruh negeri. Dua lokasi di Port Dickson telah dijalankan semalam, manakala baki lokasi mantai yang melibatkan daerah-daerah lain dilaksanakan pada hari ini.

"Pada tahun ini, kerajaan negeri bekerjasama dengan penternak bagi membekalkan daging pejal kepada masyarakat Negeri Sembilan dengan harga RM37 sekilogram.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penternak yang menawarkan diri untuk membantu rakyat Negeri Sembilan dengan harga jualan tersebut dan seterusnya membolehkan rakyat mendapatkan daging segar," katanya.