JPJ pantau larangan kenderaan berat tengah malam ini

Mohd Alifarihan (kanan) melihat pemantauan dengan menggunakan dron di kawasan berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Rabu.
Mohd Alifarihan (kanan) melihat pemantauan dengan menggunakan dron di kawasan berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pemantauan bagi menguatkuasakan larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri bermula jam 12 tengah malam.

Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah berkata, rondaan akan dibuat secara berkala di setiap laluan pada Khamis dan Jumaat serta 24 dan 25 April ini.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku keingkaran daripada pengusaha kenderaan barangan tersebut.

"Kategori kenderaan berat yang membawa bahan binaan ini tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu.

"Terdapat pengecualian diberikan melibatkan kenderaan yang membawa barangan keperluan serta kenderaan yang menjalankan kerja kecemasan seperti kren yang bertujuan mengalihkan kenderaan terlibat kemalangan," katanya kepada Sinar Harian di Pusat Kawalan Penguat Kuasa Lebuh Raya di sini pada Rabu.

Mohd Alifarihan berkata, JPJ akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman pelanggaran peraturan tersebut.

"JPJ akan menahan kenderaan dan seterusnya membuat penyitaan terhadap kenderaan yang dilarang beroperasi pada tarikh tersebut.

"Kita juga menasihatkan kepada pengusaha agar dapat mematuhi larangan tersebut demi keselamatan pengguna lebuh raya lain," katanya.

Kata beliau, pihaknya akan memfokuskan terhadap penguatkuasaan tujuh kesalahan yang tidak dibenarkan untuk dikompaun.

"Kesalahan itu adalah membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Selain itu, pemeriksaan secara rawak di hentian rehat dan rawat akan dilakukan dan memberi advokasi keselamatan kepada kumpulan penunggang motosikal. Kita berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan dua tayar ini sepanjang operasi ini," katanya.