Malaysia ke arah hadkan tempoh pemimpin berkuasa

Dewan Rakyat. Gambar kecil: Azalina
Dewan Rakyat. Gambar kecil: Azalina
A
A
A

Malaysia dalam usaha ke arah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri (PM), Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) kepada maksimum 10 tahun bagi mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan kepada jawatan-jawatan itu dan menjamin ketelusan pentadbiran negara.

Ia juga mampu membendung kemungkinan berlakunya sebarang salah guna kuasa dan rasuah dan antara jalan penyelesaian mengatasi persaingan politik yang tidak sihat merebut jawatan PM serta salah guna kuasa.

Berdasarkan jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said memaklumkan, perkara tersebut sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU,JPM).

Justeru kerajaan sentiasa mengalu-alukan penambahbaikan kepada mana-mana undang-undang sedia ada di negara ini demi kebaikan dan kemaslahatan seluruh rakyat.

Sebelum ini pada 2008, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan dengan menambah klausa ‘(iii) yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen’.

Namun begitu, perubahan pentadbiran kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN) menyaksikan RUU itu ditarik balik pada Ogos 2020 tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.

Kini hasrat kebanyakan rakyat Malaysia agar RUU itu diluluskan di Parlimen bakal tercapai apabila PH kembali menjadi salah satu parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Lebih-lebih lagi, perkara tersebut adalah janji manifesto pilihan raya PH dan rakyat telah menyaksikan pelbagai kesan negatif terhadap pergolakan politik negara apabila kuasa PM tidak dihadkan.

Walau bagaimanapun, RUU berkenaan perlu mendapat sokongan majoriti dua per tiga di Parlimen kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan.

Justeru, kerajaan Madani yang terbentuk daripada beberapa parti politik, perlu meneliti dan mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan ia mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerajaan.

Natijahnya, ia akan dapat membuka ruang kepada pimpinan baharu untuk menerajui negara, khususnya anak muda.