Syamsul, Puteri Sarah tidak jadi cerai hari ini

Syamsul dan Puteri Sarah ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
Syamsul dan Puteri Sarah ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa dikejutkan dengan pengarah filem 'Mat Kilau' Syamsul Yusof tidak melafazkan perceraian terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif berkata, usaha untuk menyelesaikan masalah rumah tangga pasangan ini secara baik tidak berjaya.

Akberdin berkata, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof selaku defendan dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin telah berbincang mengenai terma-terma perceraian namun mereka tidak mencapai persetujuan.

“Maka anak guam saya mahu meneruskan prosiding permohonan lafaz cerai dengan membaca laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP),” katanya.

Bagaimanapun peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul berkata, usaha untuk menyelesaikan kes ini secara baik tidak berjaya setelah draf persetujuan yang disediakan oleh mereka dalam prosiding lalu telah dipinda oleh Puteri Sarah.

Beliau berkata, terdapat beberapa perubahan dalam draf penjanjian dibuat oleh Puteri Sarah antaranya mahu meneruskan kes saman sivil terhadap madunya, Ira Kazar atau nama sebenarnya Faghira Fatini serta keluarga.

“Puteri Sarah juga menuntut mutaah yang tinggi dan beberapa aset lain yang tidak dipersetujui oleh anak guam saya,” katanya.

Akberdin: Rasanya tidak perlu didedahkan terma-terma persetujuan di sini, teruskan sahaja dengan prosiding kes permohonan cerai.

Azmi: Plaitif hanya mahu ceritakan rentetan yang berlaku, bukan mahu dedahkan maklumat secara terperinci.

Peguam syarie Syamsul ini turut membantah, sekiranya laporan JKP dibaca dalam prosiding tersebut.

Ini kerana beliau berkata, sesi JKP yang berlangsung pada 24 Mac lalu, tidak dikendalikan secara sempurna kerana dibuat secara berasingan.

“Sekurang-kurangnya, wakil JKP perlu berjumpa dan berbincang selain memujuk pasangan ini supaya berdamai.

“Jadi saya cadangkan sesi JKP diulang semula dan ia boleh dibuat untuk mencapai persetujuan secara baik,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa prosiding JKP dibuat secara tidak sempurna atau cacat, Akberdin menghujahkan, peguam defendan tidak boleh membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

“Beliau malah saya sendiri, tidak berada di situ semasa prosiding JKP berjalan, jadi pihak plaintif tidak boleh membuat kesimpulan bahawa sesi JKP itu adalah cacat," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Mei depan untuk memanggil pengerusi JKP bagi memberi penjelasan berhubung prosiding JKP berkenaan.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga pasangan pelakon ini mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Puteri Sarah yang juga pelakon ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’, kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Antara alasan permohonan itu ialah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Pada 7 Mac lalu, susulan keengganan Syamsul menceraikan Puteri Sarah, mahkamah memerintahkan mereka melantik wakil JKP.

Mahkamah kemudiannya, menetapkan prosiding itu pada Selasa, untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, pada 10 April, mahkamah dimaklumkan bahawa, pasangan ini telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan secara baik.

Ia berdasarkan terma-terma penyelesaian yang dipersetujui antaranya hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.