Rentas sempadan punca jerebu di Segamat

Segamat merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat sejak tiga hari lalu. Gambar hiasan. Foto: Bernama
Segamat merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat sejak tiga hari lalu. Gambar hiasan. Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tiada pembakaran terbuka berskala besar dikesan berlaku di Segamat atau kawasan sekitarnya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan di Segamat yang merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat sejak tiga hari lalu.

"Menerusi siasatan kami, pencemaran udara di Segamat disebabkan faktor rentas sempadan atau 'transboundary' daripada negara jiran.

"Namun, tidak dapat disahkan negara asal pencemaran itu daripada data-data yang kami cerap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dua lokasi di negara ini iaitu Segamat di Johor dan Kota Bharu, Kelantan mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat semalam.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) JAS, bacaan IPU di Segamat meningkat daripada 126 pada jam 9 pagi semalam kepada 151 sejam kemudian.

Segamat mencatat bacaan IPU tidak sihat sejak tiga hari lalu dengan IPU tertinggi direkodkan ialah 151.

Namun, bacaan IPU di Segamat kini menurun pada paras 98 atau sederhana, tengah hari Isnin.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, keadaan cuaca dilaporkan baik biarpun agak berjerebu di sebelah petang, pada Isnin.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati segala urusan berjalan lancar seperti biasa.

Setakat jam 5 petang Isnin, keadaan cuaca masih baik biarpun suhu agak panas dan kering.