Kebakaran rumah tiada kaitan dengan kumpulan samseng

Keadaan kebakaran sebuah rumah di Kuala Kangsar yang dikaitkan dengan perbuatan kumpulan samseng. - Foto media sosial
Keadaan kebakaran sebuah rumah di Kuala Kangsar yang dikaitkan dengan perbuatan kumpulan samseng. - Foto media sosial
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis menafikan kejadian kebakaran sebuah rumah di sini pada Ahad mempunyai kaitan dengan unsur gengsterisme sepertimana tular di media sosial.

Kejadian sekitar jam 2.06 petang itu menyebabkan sebuah rumah mengalami kerosakan di bahagian tingkap rumah dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan dijalankan tidak menemui sebarang bahan pencetus kebakaran di tempat kejadian.

Menurutnya, pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan siasatan turut mengesahkan, kebakaran disebabkan kemalangan melibatkan kain dalam kereta sorong yang diletakkan di hadapan rumah.

"Kejadian ini telah ditularkan seorang wanita dalam satu akaun Facebook menyatakan kes ada kaitan dengan insiden suaminya dipukul.

"Dia beranggapan kejadian itu sebagai satu ugutan dan ancaman berikutan kebakaran berlaku selang sebuah rumah dari rumahnya.

"Bagaimanapun siasatan mendapati, kes kebakaran itu tiada kaitan dengan kes suaminya dipukul," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau meminta orang ramai tidak memberikan komen yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, kes seumpama itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana bali polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Di laman sosial, pemilik akaun FB berkenaan menerusi beberapa hantaran dan penstriman langsung mendakwa, kejadian kebakaran itu dicetuskan oleh sekumpulan samseng yang telah memukul suaminya.