PPZ-MAIWP guna teknologi 'sentuh pada telefon' bayar zakat

Abdul Hakim (tengah) melakukan gimik pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat sambil diperhatikan Johan Zep (kanan).
Abdul Hakim (tengah) melakukan gimik pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat sambil diperhatikan Johan Zep (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjadi institusi zakat yang pertama di dunia melancarkan sistem pembayaran zakat fitrah menggunakan teknologi 'sentuh pada telefon' menerusi sistem Fasstap.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, teknologi itu menggunakan kapasiti Komunikasi Medan Dekat bagi menerima pembayaran secara selamat dan mudah.

Ujar beliau, pihaknya dengan dengan usaha sama Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay) kini menjalankan ujian rintis bagi sistem Fasstap atau Sistem Titik Jualan berasaskan Perisian (SoftPOS) di tiga lokasi iaitu di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Masjid Al-Syakirin di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Jalan Masjid India.

"Ujian rintis yang dilakukan secara percubaan selama empat hari ini diharap bukan untuk pembayaran zakat fitrah saja sebaliknya akan diperluaskan pada masa depan untuk kegunaan bayaran zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan lain-lain.

"Melalui aplikasi Fasstap, pembayar zakat hanya perlu menyentuh kad ATM MyDebit mereka pada telefon bimbit amil di tiga lokasi tersebut.

"Penggunaan aplikasi Fasstap ini lebih cepat, cekap dan selamat. Kita tidak perlu lagi menunggu lama untuk membayar zakat dan mendapat resit digital secara e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat Tap On Phone menggunakan Fasstap di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, di sini pada Jumaat.

Abdul Hakim Amir Osman (tengah) ketika melancarkan Ujian Rintis Pembayaran Zakat sentuh pada telefon menggunakan Fasstap bagi pembayaran zakat fitrah di pejabat PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.
Abdul Hakim Amir Osman (tengah) ketika melancarkan Ujian Rintis Pembayaran Zakat sentuh pada telefon menggunakan Fasstap bagi pembayaran zakat fitrah di pejabat PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Tambah Abdul Hakim, teknologi tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan selain sejajar dengan perkembangan masyarakat masa kini yang memilih penyelesaian tanpa tunai dalam pekerjaan harian.

Menurutnya lagi, PPZ-MAIWP menyasarkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM13.8 juta bagi Ramadan tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pengenalan sistem terbaharu itu secara tidak langsung dapat membantu pihaknya mencapai sasaran tersebut menjelang 1 Syawal tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Sektor Kerajaan dan Awam Fasspay, Johan Zep Md Yusof berkata, pembayaran zakat fitrah menggunakan aplikasi Fasstap tersebut hanya mengambil masa sehingga dua saat untuk setiap transaksi pembayaran.

"Fasspay juga akan membangunkan ekosistem yang lebih mesra zakat bagi membolehkan butiran penting pembayar direkodkan sepenuhnya sebelum resit rasmi zakat dicetak secara digital dan dihantar menerusi e-mel bagi tujuan rekod dan pengecualian cukai," katanya.