Wanita tanggal baju kurung, tudung didenda RM8,000

Seorang wanita yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika komediri di sebuah kelab komedi, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam, Jun tahun lalu. - Gambar hiasan
Seorang wanita yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika komediri di sebuah kelab komedi, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam, Jun tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika komediri di sebuah kelab komedi, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam, Jun tahun lalu.

Siti Nuramira Abdullah, 27, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan, semasa perbicaraan kes di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mahkamah memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut bahawa dia seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung dan menanggalkan baju kurung.

Kesalahan dilakukan sewaktu persembahan di atas pentas, di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob sementara tertuduh diwakili peguam, R Sivaraj.

Semasa prosiding, Abdul Malik berkata, Siti Nuramira telah memfailkan representasi berhubung kes ini pada 16 Mac lalu dan ia telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC)

“Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh,” katanya.

Sejurus dia menukar pengakuan kepada bersalah, pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tersebut telah mengundang perhatian orang ramai.

Walaupun hukuman di bawah seksyen itu lebih ringan namun beliau berkata, ia tidak bermaksud kesalahan tertuduh adalah tidak serius.

Sivaraj kemudiannya merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan iaitu berbentuk denda.

Menurutnya, Siti Nuramira baru sahaja berkahwin empat bulan lalu dan hanya mahukan kehidupan yang aman.

“Dia sudah lama tidak aktif dalam media sosial kerana tidak mahu mencetuskan kontroversi.

“Anak guam saya juga menyesal dengan perbuatan itu dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, mahkamah memberi amaran bahawa perbicaraan membabitkan Siti Nuramira boleh dijalankan di rumah atau hospitalnya jika dia masih tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah mengeluarkan peringatan itu apabila pasukan pembelaan memberitahu bahawa Siti Nuramira sekali lagi tidak hadir pada prosiding itu.

Sehari sebelum itu, perbicaraan kes ditangguhkan selepas tertuduh diberi sakit kerana sakit perut.

Pada 13 Julai tahun lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.