Majikan lewat, tidak bayar gaji pekerja diberi amaran keras

Mustapa ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kampung Darau di Masjid Al-Munir Kampung Darau, Inanam Kota Kinabalu.
Mustapa ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kampung Darau di Masjid Al-Munir Kampung Darau, Inanam Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Majikan di negeri ini diberi amaran keras supaya sentiasa memastikan gaji pekerja dibayar mengikut masa yang ditetapkan menerusi perjanjian antara majikan dan pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapa Sakmud turut mengingatkan majikan supaya memahami Ordinan Buruh Sabah yang telah ditetapkan.

"Saya beri amaran keras kepada majikan-majikan ini supaya pastikan gaji pekerja dibayar mengikut perjanjian antara majikan dan pekerja.

"Mereka juga perlu baca dan fahami Ordinan Buruh Sabah dan kita akan ambil tindakan kepada mana-mana majikan yang gagal membayar gaji atau lewat membayar gaji mengikut Akta Buruh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kampung Darau di Masjid Al-Munir Kampung Darau, di sini pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil Kementerian Sumber Manusia berhubung kejadian rusuhan melibatkan sekumpulan pekerja binaan yang tidak berpuas hati selepas gaji mereka lewat dibayar oleh sebuah syarikat asing di Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan tindakan sudah diambil menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.

"Isunya berkaitan kelewatan gaji pekerja pada bulan Mac yang sepatutnya mengikut perjanjian dibayar pada minggu pertama setiap bulan dan melibatkan kira-kira 600 pekerja dengan jumlah sebanyak RM3.8 juta.

"Jadi memang ada kelewatan untuk gaji bulan Mac sehingga kini dan pekerja tidak berpuas hati sehingga berlakunya pergaduhan serta kejadian memukul majikan mereka.

"Susulan kejadian itu, sesi perbincangan telah dibuat bersama wakil pekerja dan majikan di mana majikan telah bersetuju untuk membayar gaji itu pada 17 dan 18 April," katanya.

Kata beliau, bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku, pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan dan akan mendengar aduan jika masih lagi berlaku kelewatan pembayaran gaji pekerja.

"Kementerian bersedia menerima sebarang aduan daripada pekerja kerana mungkin juga ada pekerja lain lagi yang tidak dibayar membabitkan bulan sebelumnya," katanya.