Konflik di Sudan: Wisma Putra lancar bilik operasi 24 jam

Zambry
Zambry
A
A
A

SHAH ALAM - Wisma Putra telah melancarkan bilik operasi 24 jam bagi memantau keadaan semasa pergolakan yang berlaku di Sudan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, selain itu, komunikasi berkumpulan melalui aplikasi WhatsApp turut dilakukan.

Beliau turut memaklumkan, Mesyuarat Antara Agensi diadakan pagi Ahad untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan dan berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin semasa konflik ini.

"Mesyuarat penyelarasan ini turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Penyelidikan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

"Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan yang lain bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada di Sudan terjamin selamat," ujarnya.

Zambry turut memberitahu, seramai 29 rakyat Malaysia telah dikenal pasti berada di Sudan ketika ini dan kesemua mereka dilaporkan selamat.

Jelas beliau, antaranya termasuk 11 pelajar dan masing-masing seorang pekerja di bawah Petronas, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu.

"Mereka boleh berhubung terus dengan Pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa," katanya.