Kios Mahasiswa Sejahtera tawar makanan murah, berkhasiat

Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Ismail mewakili YBUDR dan KGSB yang diwakili Fatima bagi melaksanakan Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030.
Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoA antara Ismail mewakili YBUDR dan KGSB yang diwakili Fatima bagi melaksanakan Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi melaksanakan Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi perjanjian itu, lima kios Mahasiswa Sejahtera yang menyajikan pelbagai pilihan makanan dengan harga rendah akan dibina di universiti awam sekitar negeri ini.

"Mahasiswa Perak Sejahtera merupakan program khusus yang diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu pelajar, graduan dan belia daripada golongan B40 dan asnaf untuk mendapatkan makanan pada harga yang lebih rendah serta berkhasiat.

"Program tersebut mampu melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan graduan selain menjana peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan makanan dan minuman berasaskan platform digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis MoA antara Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Datuk Ismail Saffian dan Ketua Pegawai Eksekutif Kotak Global Sdn Bhd (KGSB), Fatima Chan Abdullah di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Menurut Saarani, projek perintis program tersebut akan dimulakan di USAS bermula Jun ini sebelum diperluaskan ke universiti awam lain di negeri ini.

"Bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembayaran tanpa tunai, satu platform e-wallet akan diwujudkan untuk kegunaan pelajar, graduan dan belia.

"Sekiranya ada kelemahan pelaksanaan projek ini, kita akan perbaiki sebelum dilaksanakan di universiti lain. Pemilihan peserta hanya dibuat oleh pihak universiti agar mencapai kepada golongan sasar," katanya.