[VIDEO] Tak menang tangan siapkan tanjak

Aziani menunjukkan pelbagai jenis tanjak yang dihasilkan di kedainya di Pekan Nanas, Pontian.
Aziani menunjukkan pelbagai jenis tanjak yang dihasilkan di kedainya di Pekan Nanas, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Pemakaian tanjak atau dikenali sebagai destar, kini semakin popular dan menjadi pilihan golongan muda untuk digayakan dalam pelbagai majlis.

Pembuat tanjak, Aziani Abd Ghani, 35, berkata, permintaan tanjak semakin meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Situasi itu menyebabkan dia tidak menang tangan menyiapkan hampir 300 tanjak yang ditempah pelanggan, untuk digayakan pada 1 Syawal nanti.

Aziani berkata, biasanya dia mula menerima tempahan yang kebanyakannya diterima secara atas talian, kira-kira sebulan sebelum Aidilfitri.

"Pada tahun ini, tanjak yang menjadi pilihan pelanggan ialah Naga Berlabuh dan Solok Timbo. Selain itu, ada banyak lagi tanjak yang menjadi pilihan pelanggan antaranya Mahkota Alam dan Bugis Tidak Balik.

Pelbagai jenis tanjak dihasilkan Aziani.
Pelbagai jenis tanjak dihasilkan Aziani.

"Tanjak biasanya diperbuat daripada kain kapas dan songket. Bagi tempahan, kebiasaannya, kain songket menjadi pilihan namun kain kapas berwarna hitam mendapat permintaan daripada pelanggan kerana ia mudah digayakan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang anak ini mengakui bukan mudah mempelajari seni pembuatan tanjak yang dipelopori golongan lelaki.

Katanya, dia sanggup berguru hampir setahun bersama pembimbing di bawah Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) dan Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu.

Aziani melayan pelanggan yang memilih tanjak.
Aziani melayan pelanggan yang memilih tanjak.

"Sebelum ini, saya merupakan tukang jahit. Saya melihat pembuatan tanjak ini mempunyai potensi, selepas makin ramai yang membuat tempahan bagi majlis-majlis rasmi, sambutan kemerdekaan dan Aidilfitri.

"Saya terlibat dengan pembuatan tanjak secara sepenuh masa sejak empat tahun lalu. Ada juga saya belajar daripada orang perseorangan yang mahir dengan pembuatan tanjak.

"Tanjak memerlukan ketelitian untuk dihasilkan. Setiap lipatan perlu dijaga kerana ia melambangkan warisan. Seni lipatan ini merupakan warisan lama. Oleh sebab itu, saya mengupah pembantu untuk menghasilkan tanjak," katanya.

Tanjak memerlukan ketelitian untuk dihasilkan kerana setiap lipatan melambangkan warisan.
Tanjak memerlukan ketelitian untuk dihasilkan kerana setiap lipatan melambangkan warisan.

Menurut Aziani, dia kini mampu menghasilkan 10 jenis tanjak atas jenama Pelakar dan mempunyai kedai di Pekan Nanas serta bengkel pembuatan di bandar Pontian.