Saifuddin lapor polis fitnah kaitkannya dengan Roslizal

Setiausaha Politik Saifuddin, Mohd Hafeez Mohd Yunus membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pagi Sabtu.
Setiausaha Politik Saifuddin, Mohd Hafeez Mohd Yunus membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pagi Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah membuat laporan polis susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan seorang individu bernama Roslizal Razali yang kini dalam tahanan polis.

Menurutnya, laporan itu dibuat melalui Setiausaha Politik beliau, Mohd Hafeez Mohd Yunus di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

“Pagi tadi satu laporan polis telah dibuat oleh SUPOL (setiausaha politik) saya, Hafeez berkenaan beberapa hantaran di media sosial Facebook dan Twitter.

“Hantaran itu mengaitkan saya dengan individu bernama Roslizal dan Datuk Arshad yang terbabit dalam siasatan polis bagi tuduhan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

“Tujuan saya membuat laporan polis adalah bagi membersihkan nama saya dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan. Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat tentang perkara ini dan percaya pada integriti serta kewibawaan pihak berkuasa untuk memastikan fitnah tidak berleluasa,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Sabtu.

Tambah Saifuddin, tindakan awal itu diambil untuk memelihara haknya di sisi undang-undang terhadap penyebar fitnah, sama ada secara individu mahupun mewakili mana-mana organisasi.

Sebelum itu, beliau menafikan kaitannya dengan Roslizal, susulan dakwaan yang kini berlegar di media sosial mengaitkannya dengan pengawal keselamatan terbabit.

Roslizal yang berusia 46 tahun itu telah ditahan pada Rabu lalu kerana disyaki memuat naik ciapan di media sosial berunsur perkauman yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, ketika permohonan reman, pengawal keselamatan itu dikatakan memaklumkan menyewa sebuah soho di KLCC.

Namun, timbul dakwaan yang mengatakan polis mempersoalkan Roslizal mampu menyewa di situ dan dikatakan ada menyebut tentang mendapat 'sokongan kewangan' daripada Datuk Arshad yang bekerja untuk Saifuddin.