Caj parkir RM1 sejam di Pasar Harian Selayang bebankan peniaga

Ah Chai (lima dari kanan) menyampaikan dokumen masalah Pasar Harian Selayang kepada Prabakaran untuk diserahkan kepada DBKL.
Ah Chai (lima dari kanan) menyampaikan dokumen masalah Pasar Harian Selayang kepada Prabakaran untuk diserahkan kepada DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan parkir berbayar di Pasar Harian Selayang bermula 1 April lalu menimbulkan rasa kurang senang khususnya dalam kalangan peniaga pasar berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pasar Harian Selayang, Ho Ah Chai berkata, caj parkir RM1 bagi tempoh sejam dianggap tidak munasabah dan membebankan terutama peniaga yang perlu menyediakan kos RM8 setiap hari bagi tujuan tersebut.

Beliau juga mempertikai tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melantik syarikat swasta berbanding menyerahkan kepada pihak persatuan untuk menguruskan parkir bangunan berkenaan.

"Kami langsung tidak dimaklumkan berkenaan perkara tersebut menyebabkan banyak aduan diterima semasa sistem tersebut mula dilaksanakan.

Ah Chai
Ah Chai

"Banyak masalah timbul antaranya beberapa pintu masuk ditutup, pintu palang tidak berfungsi selain caj RM1 sejam yang membebankan," katanya dalam sidang media pada Sabtu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Ah Chai meluahkan kebimbangan caj tersebut akan memberi kesan kepada jumlah pengunjung ke pasar berkenaan seterusnya bakal menjejaskan pendapatan peniaga yang terpaksa bersaing dengan pasar raya berhampiran.

"Kami berharap DBKL membenarkan persatuan menguruskan sendiri bangunan pasar harian ini kerana mempunyai sumber kewangan yang boleh menampung perkhidmatan parkir tersebut.

"Jika ambil alih, kami akan kaji semula kadar caj parkir berkenaan. Kadarnya mungkin dikurangkan kepada RM1 atau RM2 bagi sekali masuk," katanya.

Sementara itu, Prabakaran berkata, pihaknya akan mengutarakan permasalahan dibangkitkan peniaga untuk perhatian DBKL dalam masa terdekat.

"Banyak aduan diterima sejak bangunan tersebut mula dirasmikan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dua tahun lepas termasuk isu parkir yang diterima baru-baru ini.

"Saya minta Datuk Bandar campur tangan dan pengurusan parkir kepada syarikat swasta dikaji semula dengan menyerahkan kepada persatuan seperti dicadangkan oleh peniaga," katanya.