Lindungi pemberi maklumat kes rasuah daripada kena tindakan

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wan Azliana Wan Adnan)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wan Azliana Wan Adnan)
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu ditambah baik agar benar-benar melindungi pemberi maklumat yang sahih daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, dengan penambahbaikan berkenaan, tindakan terhadap laporan rasuah dan salah laku boleh dilakukan dengan berkesan.

“Antara pindaan yang boleh dilakukan melalui akta ini adalah berkenaan perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi maklumat dan perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.

“Sudah beberapa tahun dibincangkan mengenai pindaan ini tetapi hingga kini tiada lagi tindakan dibuat oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, tidak mustahil untuk menghapuskan salah guna kuasa dan rasuah sekiranya kerajaan serius dalam melakukan pindaan terhadap undang-undang bagi melindungi pemberi maklumat.

“Jika kerajaan Madani serius membanteras rasuah, akta ini perlu segera dibahas secepat mungkin.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera lakukan pindaan memandangkan beliau menerajui kerajaan maka ia seharusnya menjadi keutamaan,” tegasnya.

Sebelum itu pada 5 April lalu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam menjalankan penguatkuasaan di kawasan pentadbirannya.

MPK menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah yang boleh menjatuhkan imej dan nama baik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ia berhubung penularan artikel di media sosial menerusi blog ‘The Corporate Secret’ yang menyiarkan penulisan bertajuk ‘Doshin Rubber, Anak Syarikat Kossan bayar rasuah elak tindakan Majlis Perbandaran Klang?’