Mayat lelaki jatuh sungai ketika SAR bot karam ditemukan

Mayat, Lasimin Mantun, 38, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung kira-kira jam 9.30 pagi.
Mayat, Lasimin Mantun, 38, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung kira-kira jam 9.30 pagi.
A
A
A

KENINGAU - Seorang penduduk kampung yang terjatuh ke dalam sungai ketika terlibat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam ditemukan lemas di Sungai Penawan Kampung Sinsingon, Sapulut di sini pada Jumaat.

Mayat, Lasimin Mantun, 38, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook Faisal Ahmad berkata, mangsa adalah penduduk kampung yang terlibat SAR bot karam pada hari kedua operasi, namun terjatuh dari tebing dan hilang selepas dihanyutkan arus sungai.

Menurutnya, operasi mencari mangsa bot karam pada hari ini memasuki hari keempat di mana dua mangsa masih hilang.

"Operasi dimulakan pada jam 8 pagi dan lokasi pencarian bermula dari Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.

"Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam setengah pencarian, bilik kawalan BBP Sook menerima makluman bahawa mayat seorang lelaki ditemukan terapung sejauh 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala operasi mencari seorang lagi kanak-kanak masih diteruskan.

Dalam kejadian Selasa lalu, bot yang dinaiki lima sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang dari kebun ke rumah mereka telah terbalik.

Akibat kejadian itu, seorang wanita Lerina Rody, 26, dan anaknya Joffinoz Joffrinos, 9, maut manakala seorang lagi anaknya, Carbrineleyvonne berusia tujuh tahun belum ditemui.

Dua lagi mangsa iaitu suami mangsa, Joffrinos Palandok, 36, dan anak mereka, Jilan berusia lima tahun sempat menyelamatkan diri.