Tragedi bot karam: Abang ditemui lemas, adik masih hilang

Mayat kanak-kanak lelaki ditemui lemas di Sungai Penawan Kampung Sinsigon, Sapulut.
Mayat kanak-kanak lelaki ditemui lemas di Sungai Penawan Kampung Sinsigon, Sapulut.
A
A
A

KENINGAU - Salah seorang kanak-kanak yang hilang akibat bot karam ditemui lemas di tepi Sungai Penawan Kampung Sinsigon, Sapulut pada petang Khamis.

Mangsa, Joffizan Joffrinos, 9, ditemui pada jam 4.30 petang oleh orang awam dalam keadaan terapung, manakala adiknya, Carbrineleyvonne, 7, belum ditemui sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, mangsa yang ditemui merupakan anak pertama kepada wanita yang ditemui lemas pada hari kejadian.

"Operasi mencari dan penyelamat (SAR) hari ketiga diteruskan hari ini bermula jam 8.31 pagi di lokasi Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.

"Hasil operasi, seorang kanak-kanak lelaki akhirnya ditemui sejauh 15 kilometer dari lokasi bot karam dalam keadaan terapung di tepi sungai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung esok pagi," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bot yang dinaiki lima sekeluarga terbalik dan karam akibat arus deras ketika dalam perjalanan pulang dari kebun.

Akibat kejadian itu, Lerina Rody, 26, disahkan meninggal dunia manakala dua lagi anaknya hilang.

Suami mangsa, Joffrinos Palandok, 36, dan anak lelaki mereka, Jilan berusia lima tahun berjaya menyelamatkan diri.