World #QuranHour perlu dianjur lebih kerap

Peserta World #QuranHour membaca Surah Al-Insan di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, pada Khamis.
Peserta World #QuranHour membaca Surah Al-Insan di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Peserta World #QuranHour di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, Johor berharap program itu dapat dianjurkan lebih kerap dalam usaha memberikan pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran kepada orang ramai.

Guru mengaji, Wan Jah Senapi, 63, berkata, program berkenaan secara keseluruhannya banyak memberikan pemahaman terhadap surah di dalam al-Quran.

Wan Jah
Wan Jah

“Hari ini kita telah diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada Surah Al-Insan berserta dengan tadabburnya sekali.

“Setelah mengetahui isi kandungan surah berkenaan, ternyata surah ini sebenarnya mengajar kita untuk kembali sedar diri...siapa kita sebenarnya.

“Ini kerana daripada tiada apa-apa, kini kita ada jawatan, ada kedudukan, ada nilai, ada duit dan buat kita jadi lalai. Kita sibuk dengan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi kita lupa dengan tugas sebenar kita di dunia ini iaitu untuk menghambakan diri kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seramai 700 peserta terdiri daripada pelajar sekolah di sekitar Bandar Penawar dan orang awam menyertai program World #QuranHour di Masjid Al-Syifa kali ini.

Pengerusi masjid, Mohd Zaini Mohd Salleh berkata, program sedemikian wajar dianjurkan dalam usaha menarik orang ramai untuk kembali beramal dengan membaca al-Quran setiap hari.

Mohd Zaini
Mohd Zaini

“Kita dapat saksikan dalam tempoh sejam ini, mereka (peserta) dapat berinteraksi dengan al-Quran dan saya difahamkan ia juga diadakan secara serentak di seluruh Malaysia.

“Uniknya, kali ini kita dapat memahami maksud ayat yang dibacakan pada sesi tadabbur al-Quran. Semoga kita akan istiqamah (berterusan) membaca al-Quran kerana di hari akhirat, ia (al-Quran), akan datang mencari pembacanya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal, 53, berkata, pihaknya gembira dengan 700 penyertaan pada World #QuranHour kali ini.

Malah, katanya, sebanyak 800 sekolah dari sekitar Johor melibatkan sekolah rendah dan menengah difahamkan turut menjayakan World #QuranHour hari ini.

Roziah
Roziah

“Alhamdulillah selesai program World #QuranHour di Masjid al-Syifa, bandar Kota Tinggi kali ini.

“Di Johor, kami tidak hanya mengadakan program ini di Johor Bahru, tetapi sejak dua tahun ini, kami mula berhijrah ke daerah-daerah, dan kali ini daerah Kota Tinggi yang terpilih.

“Ternyata sambutannya agak luar biasa. Kesemua 800 sekolah yang turut serta juga memuat naik gambar, video dan ini dah macam perayaan sebelum hari raya nanti," katanya.

Beliau berkata, World #QuranHour merupakan program setahun sekali dan selepas ini akan ada Malaysia #QuranHour dan konvensyen Quran Hour pula.

"Kesemua ini merupakan gelombang bagi mengajak orang ramai bukan sahaja membaca tetapi turut memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri,” katanya.