Sisa arang batu, minyak sawit punca Sungai Serdang tercemar

Keadaan Sungai Serdang Kapar yang tercemar disyaki berpunca daripada sisa arang batu dan pembuangan sisa minyak sawit secara haram. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
Keadaan Sungai Serdang Kapar yang tercemar disyaki berpunca daripada sisa arang batu dan pembuangan sisa minyak sawit secara haram. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
A
A
A

KLANG - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti permasalahan kualiti sumber air di Sungai Serdang, Kapar berpunca daripada sisa arang batu dan pembuangan sisa minyak sawit secara haram.

Pada Rabu, LUAS menerima maklumat daripada orang awam berkenaan permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di sungai berkenaan.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, disyaki terdapat sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung dan memasuki Sungai Serdang.

Menurutnya, aliran sisa arang batu tersebut berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa terlibat.

"Pemantauan LUAS di lokasi mendapati kerja pembaikan dan pembersihan sisa arang telah dilakukan oleh pemilik stesen dan tiada aliran yang tercemar dikesan.

“Siasatan LUAS turut menemukan aliran berwarna putih. Ia berpunca daripada pembuangan sisa minyak sawit yang disyaki telah dibuang secara haram oleh individu tidak dikenal pasti menggunakan sebuah lori tangki,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Loy Sian berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang menyemak status pemilik tanah, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.

“Insiden tidak memberi kesan kepada bekalan air memandangkan tiada LRA (Loji Rawatan Air) berada di kawasan Sungai Serdang.

"Bagaimanapun, LUAS sentiasa peka dan pro aktif untuk memastikan sumber air negeri terutamanya sungai sentiasa terpelihara dan diambil tindakan segera,” katanya.