1 Syawal: Kenampakan anak bulan antara negara tidak sama

Gambar hiasan. Gambar kecil: Zamri
Gambar hiasan. Gambar kecil: Zamri
A
A
A

IPOH - Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan data-data dikeluarkan negara luar berhubung penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, hitungan bagi setiap negara dalam perkara itu tidak sama kerana terdapatnya perbezaan ketara terutama dari segi waktu yang boleh mempengaruhi kenampakan anak bulan.

"Saya beri contoh ketika matahari tenggelam (29 Ramadan), wujud anak bulan yang usianya sekitar 7 jam, jadi tujuh jam itu tidak cukup matang untuk kita nampak anak bulan.

"Tetapi di Arab Saudi yang melihat anak bulan, mereka lewat lima jam dari kita, jadi ketika itu anak bulan mungkin sudah berusia 12 jam dan matang.

"Barangkali di sana nampak, tetapi di sini (Malaysia) tidak nampak," katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena program World #QuranHour di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Zamri berkata, kegusaran berlaku apabila orang ramai kurang faham dan hanya berkongsi sebahagian maklumat yang diberitakan.

"Kebanyakan kita hanya baca tajuk, bukan kandungan sepenuhnya berita sebab itu keadaan menjadi tidak tenteram," katanya.

Ujar beliau, ketetapan tarikh Hari Raya itu haruslah kembali kepada keputusan rasmi yang hanya akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Pada 7 April lepas, Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Menurut portal Gulf News, bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Tular sebelum ini di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan itu menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Perkara itu berlaku susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.