Shafee gagal fail tuntutan balas terhadap LHDN

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Khamis gagal dalam permohonannya bagi mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan tuntutan balas terhadap tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan Muhammad Shafee itu selepas mendapati tuntutan balas defendan tidak timbul daripada isu cukai tetapi tindakan mala fide oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang tidak termasuk dalam ruang lingkup yang ditetapkan peraturan yang melarang tuntutan balas.

"Mahkamah mendapati tuntutan balas defendan adalah terhadap pihak seperti SPRM dan AGC, yang bukan sebahagian daripada prosiding ini,” katanya.

Mahkamah juga memutuskan bahawa sebarang ketidakpuasan hati terhadap pengiraan cukai boleh ditangani di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP).

Dakwaan Muhammad Shafee bahawa taksiran cukai "mala fide diada-adakan" oleh SPRM dan AGC boleh ditangani dengan cara lain, katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kes yang menunjukkan bahawa keseluruhan skim undang-undang cukai di Malaysia ialah pembayaran yang dituntut mesti dibayar tanpa menghadapi rayuan dan prinsip "bayar dahulu, bincang kemudian" adalah diutamakan.

"Mungkin ada rayuan di hadapan PKCP tetapi pembayaran mesti dibuat atau menjadi hutang disebabkan LHDN diberi kuasa undang-undang untuk mengutip tunggakan cukai," katanya sambil menambah bahawa Muhammad Shafee bukanlah pembayar cukai pertama yang ingin memfailkan tuntutan balas dalam prosiding seperti ini.

JC juga mengarahkan peguam itu membayar kos RM5,000 kepada kerajaan.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 26 Julai untuk mendengar penghakiman terus oleh LHDN bagi pihak kerajaan terhadap Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021, antara lain atas alasan tuntutan cukai itu adalah serangan terhadap beliau sebagai mangsa politik atas kapasitinya sebagai peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dan dianggap sebagai peguam UMNO walaupun dia bukan peguam parti berkenaan.

Muhammad Shafee mendakwa pada 10 Ogos 2018, dua hari selepas pertuduhan 1Malaysia Development Berhad dikenakan terhadap Najib, dan selepas beliau mengeluarkan beberapa kenyataan media yang mengkritik kerajaan Pakatan Harapan, beliau telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi kenyataan berhubung penerimaan RM9.5 juta itu.

Susulan kenyataan kepada SPRM, Muhammad Shafee mendakwa satu mesyuarat telah diadakan pada September 2018 antara LHDN, SPRM dan AGC bagi membincangkan tindakan terhadapnya bertujuan tidak menggalakkannya bertindak sebagai peguambela Najib.

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDN, yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021, mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Pada 28 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 November 2022 telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Muhammad Shafee diwakili peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee manakala Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus, Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause bertindak bagi pihak LHDN. - Bernama.