Johor hanya ada satu team, kata Muhyiddin

Muhyiddin beramah mesra bersama anggota Rela sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rela Malaysia ke-47 Peringkat Johor, sebentar tadi.
A
A

PAGOH - Tiada wujud isu dua pasukan dalam parti ini, demikian tegas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, apa yang berlaku hanyalah persepsi masyarakat yang melihatkan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin Bersatu.

Tegas beliau lagi, perkara (perbezaan pendapat) itu adalah normal bagi sesebuah organisasi, namun ia bukanlah faktor sehingga menyebabkan perpecahan dalaman.

“Tak ada team berbeza... hanya ada satu team sahaja iaitu team Bersatu.

"Memang akui kita ada pandangan berbeza tentang beberapa perkara, tapi itu tak boleh dianggap sebagai satu perpecahan kerana bagi saya paling penting adalah apa yang sudah kita lakukan.

“Saudara pun paham, Bersatu menjadi komponen utama dalam Pakatan Harapan (PH) dan kita telah bekerja mengikut kerjasama yang baik dengan parti lain seperti PKR, Amanah dan juga DAP hingga berjaya menumbangkan kleptokrasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela Malaysia ke-47 Peringkat Johor, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela Malaysia, Zulkifli Abidin.

Beliau berkata, hari ini setelah berada dalam kerajaan, pakatan itu sedar perpaduan serta kerjasma adalah penting.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tular kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad ingin melepaskan jawatan Perdana Menteri kerana pertukaran barisan exco, tegas Muhyiddin ia hanyalah rekaan semata-mata dan tidak sepatutnya dibangkitkan.

Muhyiddin berkata, Dr Mahathir kini berada di China bagi menjalankan tugas-tugas negara.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia