Bekas Ahli Majlis didakwa minta, terima rasuah RM500

Murali (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi pertuduhan kes meminta dan menerima rasuah daripada sebuah pertuduhan kebajikan sosial sebanyak RM500, tiga tahun lalu.
Murali (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi pertuduhan kes meminta dan menerima rasuah daripada sebuah pertuduhan kebajikan sosial sebanyak RM500, tiga tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang bekas Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada sebuah pertubuhan kebajikan sosial sebanyak RM500 berhubung kelulusan bantuan kewangan bagi pembelian buku kelas agama dan moral, tiga tahun lalu.

S Murali, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 67 tahun yang juga pengerusi pertubuhan itu, yang dimasukkan ke akaun Maybank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan untuk menyokong kelulusan permohonan bantuan kewangan untuk membeli buku kelas agama dan moral bagi pertubuhan berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 7 September 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai yang palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman sementara tertuduh diwakili peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 10 Mei depan.