Fuad A Kiram diklasifikasikan sebagai pengganas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Salah seorang daripada penuntut Sulu yang dikenali sebagai Fuad A Kiram diklasifikasikan kerajaan Malaysia sebagai entiti pengganas berkuat kuasa 6 April lalu.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pengklasifikasi itu dibuat

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Menteri Dalam Negeri telah menyenarai Fuad atau nama sebenarnya Muhammad Fuad Abdullah Kiram sebagai pengganas," katanya menerusi taklimat media pada Selasa.

Malaysia sebelum ini menghentikan bayaran wang serahan RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu susulan serangan bersenjata di Lahad Datu, Malaysia pada 12 Februari 2013.

Dalam pencerobohan militan itu, lapan anggota polis terkorban iaitu dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan serang hendap di Semporna.

Pada 31 Januari 2018, firma guaman mewakili waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878, failkan permohonan di Superior Court of Justice, Madrid untuk melantik penimbang tara.

Mahkamah Arbitrasi Perancis pada Februari 2021 merekodkan keputusan penimbang tara Dr Stampa bahawa Malaysia perlu bayar RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) kepada waris terakhir Sultan Sulu kerana melanggar Perjanjian 1878.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Madrid pada Jun 2021 membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta keputusannya, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Malaysia memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 untuk menggantung penguatkuasaan Final Award dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Azalina Said berkata kes tuntutan Sulu ini terhasil apabila sekumpulan warga Filipina yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu menuntut bayaran pampasan daripada Malaysia kerana sebahagian Sabah didakwa dipajak kepada negara ini.

Menurutnya, tuntutan kumpulan itu, melalui timbang tara komersial serta prosiding yang dijalankan terhadap Malaysia, dibiayai oleh satu dana litigasi yang dikenali sebagai Therium.

"Pihak-pihak ini telah bersekongkol untuk menuntut sebanyak AS$14.9 billion daripada Malaysia," katanya.

Tegas beliau, asas tuntutan kumpulan adalah berdasarkan suatu perjanjian antara Kesultanan Sulu dan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad-19 dalam tulisan Jawi.

"Fakta-fakta kes mereka tidak begitu kukuh kerana sehingga kini, belum lagi diketahui sama ada pihak penuntut ini benar-benar waris Sultan Jamalul Kiran II.

Tambahan lagi, tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia mengabaikan kehendak rakyat Sabah (self-determination) untuk menyertai Malaysia pada 1963, sepertimana yang telah dilapor oleh Suruhanjaya Cobbold," katanya.

Dalam pada itu Azalina menyeru pihak media memainkan peranan penting dalam memastikan naratif yang sahih berkenaan tuntutan ini

disebarkan kepada orang awam untuk memupuk kesedaran berkenaan ancaman-ancaman terhadap negara yang bersifat unconventional.

"Dalam memastikan penyebaran maklumat yang benar tentang kes ini, kerajaan telah menubuhkan satu laman web, yang akan dilancarkan esok (Rabu) dan mengandungi maklumat berkaitan sejarah tuntutan serta perkembangan kes ini," katanya.