Ketegasan Ismail Sabri pencetus pemulihan pasca Covid-19 - KJ

Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin.
Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketegasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi negara ketika berdepan krisis kesihatan global disifatkan sebagai pencetus pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Ismail Sabri telah memberikan kepercayaan penuh kepada menteri-menteri kabinetnya.

“Pada masa itu saya Menteri Kesihatan, saya terpaksa buat keputusan yang sangat sukar bersama rakan-rakan dalam jawatankuasa yang menentukan sama ada kita nak keluar dari pandemik ataupun tidak.

“Ketika itu Ismail Sabri telah menetapkan, KJ no more lockdown dan kita nak keluar dari pandemik ini sekian masa.

"Oleh itu, saya terpaksa buat banyak keputusan berkenaan SOP, kuarantin, vaksin dan syarat lain,” katanya semasa podcast Keluar Sekejap pada Isnin.

Khairy menambah, Ismail Sabri bukan sahaja tegas tetapi berani memberikan kepercayaan penuh kepada beliau dan pasukannya untuk membawa negara keluar daripada belenggu Covid-19.

“Beliau memberi kepercayaan sepenuhnya dan saya lapor kepada beliau.

"Selepas dibentangkan laporan dan beliau katakan 'jika ini (perancangan) berdasarkan bukti dan fakta dan pertimbangan sewajarnya oleh KKM 'go for it'," katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan turut mengakui Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang berjaya menjadi pencetus kepada pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

“Apa yang Ismail Sabri buat yang saya rasa mungkin belum dapat kredit lagi lah ramai orang lupa bahawa beliau tegas untuk mengatakan bahawa PKP tidak akan berlaku lagi.

"Mungkin itu dilihat sebagai satu kenyataan biasa tetapi komitmen yang dibuat kemudian apabila Omicron datang selepas Menteri Kesihatan dah uruskan vaksin, semua 'cantik' tak perlu lagi PKP membawa kepada kesan ekonomi yang sebenar.

“Malah setiap bulan sepanjang Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, kadar pengangguran menurun.

“Saya kira itu satu pencapaian yang beliau tak dapat hebahkan dari segi ‘branding’ beliau, tapi dari segi kesan kepada pemulihan ekonomi itu,” ujar Shahril.