Lantikan Azeez sebagai Pengerusi KEDA diteliti semula: Anwar

Anwar (tengah) dalam program penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.
Anwar (tengah) dalam program penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Lantikan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, setakat ini pelantikan baharu tersebut belum dibuat dan perkara itu akan dibincangkan lanjut bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid mengenai salah satu pengumuman itu yang belum dihantar surat (pelantikan rasmi).

"Ini termasuklah cadangan (Abdul Azeez) Pengerusi KEDA yang akan kita teliti semula. Jadi belum ada lantikan," katanya kepada pemberita sempena program penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas mengenai kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengecam pelantikan beberapa pemimpin politik dalam jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Anwar berkata, pelantikan itu bukan dibuat terhadap syarikat tersenarai di bursa saham.

Katanya, setiap pelantikan yang dibuat itu adalah berdasarkan kelayakan individu berkenaan menerusi syarat yang ketat.

"Jangan andaikan (lantikan) GLC itu seperti sebelumnya. Kita syaratkan (mereka yang dilantik) jalankan tanggungjawab tidak boleh berbelanja lebih daripada ditentukan dan elaun pun dihadkan mengikut kelayakan masing-masing," katanya.

Pada 5 April lepas, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Pada Mac lepas, Bersih mempertikaikan dua pelantikan jawatan GLC seperti yang diumumkan Ahmad Zahid.

Pertubuhan sivil itu merujuk kepada pelantikan dua pemimpin UMNO iaitu mantan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuat kuasa 1 Mac 2023 dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu.