Abdul Azeez dilantik Pengerusi KEDA - Ahmad Zahid

Abdul Azeez - Foto Bernama
Abdul Azeez - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melantik bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Santuni Kasih Ramadan Kedah di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Abdul Azeez akan menggantikan bekas Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi memegang jawatan itu.

"Di bawah kementerian, kami ada Lembaga Kemajuan Wilayah yang meliputi kawasan-kawasan di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan luar bandar untuk negeri Kedah.

"Dahulunya, KEDA di bawah pimpinan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang telah dilantik oleh kerajaan (kini) diberikan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi KEDA," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Ahmad Zahid menyatakan, Jamil Khir yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jerai akan diberikan peluang lain di peringkat nasional.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap jalinan agensi-agensi di bawah KKDW dan kerajaan negeri perlu dilakukan dengan cara paling mudah.

Pada Ogos 2022, Jamil Khir menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi KEDA menggantikan Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.